SmartTAG lebih maju, 10,000 lebih pantas dari RFID; lorongnya perlu ditambah, bukan dikurangkan – Efkon

SmartTAG lebih maju, 10,000 lebih pantas dari RFID; lorongnya perlu ditambah, bukan dikurangkan – Efkon

Sementara kerajaan berhasrat untuk melaksanakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai transaksi pembayaran tol baharu yang disifatkan lebih praktikal, Efkon Asia pula berkata sistem SmartTAG tidak sepatutnya disingkirkan, sebaliknya harus dipertingkatkan penggunaannya. Ini kerana sistem berkenaan juga dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol dan mempercepatkan pelaksanaan rangkaian aliran bebas trafik berbilang lorong pada masa hadapan.

Penyedia teknologi Austria bagi sistem kutipan tol Infra-Merah (IR) di lebuh raya Malaysia itu menegaskan sistem IR yang menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTAG mempunyai gabungan pangkalan pelanggan seramai lima juta pengguna dan jumlah ini semakin berkembang.

Menurut Pengarah Efkon Asia, Helmuth Blasch, ditambah dengan usaha menaik taraf produk berterusan yang telah meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan pengalaman pengguna dengan ketara, sistem ini menjadi titik persediaan yang ideal dan jauh lebih maju untuk mencapai objektif lebuh raya bebas kesesakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) berbanding dengan sistem pembayaran RFID yang masih baru.

“Pada tahun ini sahaja, dianggarkan 75% daripada 270,000 kereta penumpang dan kenderaan komersial baharu yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia sehingga September 2021 telahpun diserahkan kepada pembeli lengkap dengan pembaca tol terbina dalaman atau peranti mudah alih yang serasi dengan SmartTAG.

SmartTAG lebih maju, 10,000 lebih pantas dari RFID; lorongnya perlu ditambah, bukan dikurangkan – Efkon

“Ini merupakan petunjuk jelas bahawa sistem IR terus menikmati keyakinan pengeluar, penjual dan pemilik kenderaan dan telah membuktikan nilainya sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang cekap, mudah dan kos efektif,” ujarnya.

Blasch percaya bahawa pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika objektifnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.

“Di Jerman, Sistem Tol Trak Seluruh Negara yang dipasang di semua lebuh raya dalam konfigurasi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) telah terbukti sangat berkesan, memenuhi keperluan lebih dua juta trak yang bergerak sehingga 100 km/j. Ia menggunakan teknologi IR yang serupa, seperti di Malaysia, untuk mengesahkan pembayaran. Kami juga telah berjaya mengulangi ujian ini di Malaysia.

“Unit serasi SmartTAG kami mematuhi piawaian DSRC (Dedicated Short-Range Communication) dan diperakui ECE R10. Mereka beroperasi dalam jalur 400THz dan, oleh itu, dapat memindahkan data 10,000 kali lebih cepat daripada RFID. Memandangkan dikuasakan bateri, setiap unit aktif dengan masa bangun hanya dua milisaat berbanding RFID pasif 45 milisaat,” jelas beliau.

Tambahnya, berdasarkan maklum balas orang ramai terhadap pengumuman baru-baru ini oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), kebanyakan pengguna lebuh raya jelas lebih mengutamakan kemudahan unggul, kebolehpercayaan yang terbukti dan pengalaman pengguna yang lebih baik yang diberikan oleh sistem IR, yang telah digunakan di negara ini sejak tahun 2005.

Katanya lagi, Efkon Asia telah bekerjasama rapat dengan pengeluar tempatan peranti serasi SmartTAG untuk terus memperkenalkan peningkatan dan menambah baik pengalaman pengguna.

“Bagi pengguna, pembaca tol terbina dalaman yang serasi dengan SmartTAG dikuasakan secara langsung oleh bateri kereta manakala unit mudah alih seperti MaxTAG kini didatangkan dengan bateri 1000 mAh boleh dicas semula yang berkuasa dan tahan lama serta port USB untuk pengecasan mudah di dalam kereta bagi memastikan ketersediaan pada setiap masa. Bagi syarikat konsesi lebuh raya, kami kini menawarkan antena sisi lorong baharu pada kos subsidi untuk menaik taraf prestasi lorong SmartTAG bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar,” ujarnya.

Blasch turut berkata, pada suku pertama tahun 2022, syarikat ini akan bergerak ke arah pendigitalan dengan mendayakan sambungan Bluetooth antara peranti dan telefon pintar serta sistem media kereta. “Sambungan ke e-dompet untuk tambah nilai mudah juga boleh dilakukan,” tambah beliau lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Azhari Bin Ahmad on Dec 29, 2021 at 10:02 pm

    System Smart TAG It ok ☺

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Aku sudah guna rfid…. 10 kali aku guna , tiga kali sangkut( kereta da sampai palang tak naik/buka. Kena undur ke belakang, kadang2 smpai 2/3 kali , baru palang naik). ..

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • Betul tu….smart tag sudah ok….apa mau tukar lagi…perbanyakkan smart tag jer

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
    • MD JAMIL BIN ARIS on Dec 31, 2021 at 9:22 pm

      Betul tu. Utk apa tukar, munkin pasal rasuah juga.

      Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required