Volvo lantik Jim Rowan sebagai CEO baru – bekas bos besar Dyson bakal ganti tugas Håkan Samuelsson

Volvo lantik Jim Rowan sebagai CEO baru – bekas bos besar Dyson bakal ganti tugas Håkan Samuelsson

Volvo Cars telah mengumumkan bahawa bekas CEO Dyson iaitu Jim Rowan akan menggalas jawatan sebagai CEO dan presiden jenama automotif Sweden berkenaan bermula 21 Mac 2022, bagi menggantikan tempat Håkan Samuelsson.

Sebelum ini Rowan pernah memegang jawatan COO untuk Blackberry, serta pernah memegang jawatan yang sama di Dyson sejak 2012 sehingga 2017. Beliau kemudiannya dilantik sebagai CEO Dyson Group pada 2017 dan berkhidmat sehingga 2020.

Ketika bertugas dengan pengeluar kelengkapan elektrik rumah berkenaan, Rowen berjaya memacu strategi e-perdagangan serta melancarkan beberapa produk dan meningkatkan pegangan pasaran Dyson. Buat masa sekarang, Rowen masih bertugas sebagai CEO dan ahli lembaga Ember Technologies sejak Februari 2021.

Oleh itu, Rowan bakal memulakan tugasnya di Volvo dengan berbekalkan pengalaman global selama tiga tahun dalam sektor konsumer dan teknologi. Pengetahuannya dalam bekerja dengan digitalisasi, gangguan, inovasi, kejuruteraan dan rangkaian pembekalan bakal digunakan oleh Volvo bagi “merealisasikan cita-cita strategik” mereka.

“Saya sangat gembira untuk mengalu-alukan Jim Rowen sebagai CEO baru Volvo Cars. Volvo Cars kini sedang melalui transformasi pantas terhadap digitalisasi yang menjadi sebab mengapa kami mahu membawa seseorang yang mempunyai pengalaman sebagai CEO global dari luar industri automotif,” kata pengerusi lembaga Volvo Cars, Eric Li.

“Jim merupakan orang yang tepat bagi memacu Volvo Cars ke arah masa hadapan – membolehkan ia menjadi pengubah terpantas dalam lapangan dan syarikat elektrik sepenuhnya dengan berjuta-juta hubungan terus terhadap konsumer,” tambah Li lagi.

Tugas Håkan Samuelsson akan digantikan oleh Rowen pada Mac ini kerana kontraknya yang bakal tamat pada penghujung 2022. Walaupun Samuelsson akan meninggalkan lembaga Volvo Car AB, beliau masih akan bertugas sebagai pengerusi Polestar untuk memantau proses de-SPAC sebagai salah satu inisiatif bagi disenaraikan awamkan di Nasdaq.

Håkan Samuelsson mula dilantik sebagai ahli lembaga pada 2010, dan dilantik sebagai CEO dan presiden Volvo Cars sejak Oktober 2012. Beliau bakal meninggalkan legasi yang kuat di Volvo kerana sepanjang tempohnya menggalas jawatan penting tersebut, Volvo dilihat berkembang dengan pantas dari segi angka jualan dan juga pertambahan model dalam portfolio.

Volvo lantik Jim Rowan sebagai CEO baru – bekas bos besar Dyson bakal ganti tugas Håkan Samuelsson

Beliau juga merupakan individu penting dalam memacu Volvo kearah masa hadapan teknologi elektrifikasi dan hasrat untuk disenarai awamkan.

“Saya mahu mengambil kesempatan ini bagi dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Håkan Samuelsson untuk komitmen dan kesungguhannya dalam tempoh lebih sepuluh tahun ini di Volvo Cars. Håkan telah, bersama dengan pasukan pentadbirannya, mewujudkan barisan produk yang diperbaharui dan kuat, memperkenalkan semula Volvo sebagai jenama premium pada tempat yang baik pada masa hadapan, dan membolehkan Volvo Cars disenarai awamkan,” tambah Li lagi.

“Saya gembira untuk menyertai Volvo Cars pada detik yang begitu menarik untuk syarikat dan pada tempoh transformasi untuk kedua-dua industri dan pengguna. Rekod prestasi Volvo Cars yang kukuh merentasi inovasi, keselamatan dan kualiti, ditambah dengan bakat bertaraf dunia dan kemampanan serta keupayaan teknologi yang memberi inspirasi, meletakkannya ia sebagai peneraju hala tuju,” kata Rowan

“Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan Jim ke jawatan baharunya bagi meneruskan perjalanan hebat Volvo Cars. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja Volvo Cars atas kemajuan luar biasa yang telah kami capai bersama dalam 10 tahun yang lalu – kerana bukan sahaja menjadikan Volvo sebagai salah satu jenama automotif premium yang paling pesat berkembang dan paling dipercayai, tetapi untuk sentiasa berinovasi dan menerajui dengan tujuan. Saya mendoakan yang terbaik untuk tahun-tahun mendatang,” kata Samuelsson.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required