Shell Recharge EV DCFC mula beroperasi di M’sia – stesen pertama di Lebuhraya Utara-Selatan di Tangkak

Shell Recharge EV DCFC mula beroperasi di M’sia  – stesen pertama di Lebuhraya Utara-Selatan di Tangkak

Shell dan Porsche Asia Pacific telah mengumumkan operasi bagi Shell Recharge high performance charging (HPC) yang pertama di Malaysia telah pun beroperasi, berlokasi di stesen Shell di Tangkak, Johor. Lokasi pertama bagi rangkaian Shell HPC ini antara salah satu stesen yang bakal memiliki 12 poin pengecasan terletak di stesen Shell di Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS. Ia juga menandakan pengenalan rangkaian infrastruktur HPC rentas sempadan pertama di Asia Tenggara.

Buat masa ini, rangkaian tersebut meliputi Singapura dan Malaysia, bakal dikembangkan hingga ke Thailand, memudahkan pemilik kenderaan elektrik melakukan road-trip dari Singapura ke Bangkok. Mengikut perancangan dan pembangunan untuk rangkaian HPC ini, Shell turut berkata, ia (stesen pengecasan) akan dipasang di Thailand tidak lama lagi.

Selain di Tangkak, HPC ini juga akan ditempatkan di stesen Shell di kawasan R&R Seremban (arah utara), R&R Seremban (arah selatan), R&R Pagoh (arah selatan), RTC Simpang Pulai (arah utara), dan R&R Tapah (arah selatan), serta keseluruhan rangkaian itu dijangka akan sedia digunakan menjelang suku pertama tahun ini.

Setiap enam stesen berkenaan akan dilengkapi dengan pengecas pantas DC 180 kW yang menampilkan dua penyambung CCS Type 2. Larasan tersebut membolehkan setiap kenderaan elektrik yang dicas pada kadar penuh 180 kW, atau dua unit kenderaan pada kadar 90 kW setiap satu.

Bagi aspek pengecasan, masa menunggu dapat dikurangkan berbanding dengan pengecas 50 kW. Sebagai contoh, bagi sebuah Porsche Taycan, ia akan dicas dari kapasiti sifar ke 80% dalam sekitar 30 minit, memberikannya jarak sehingga 390 km (ikut kitaran WLTP) termasuk jarak perjalanan tambahan.

Pengecasan selama lima minit adalah cukup untuk perjalanan dari Tangkak ke Melaka, sementara pengecasan selama 10 minit pula membolehkan jentera berkenaan sampai ke Legoland, dan pengecasan selama 20 minit pula memboleh ia dipandu dari Tangkak ke Genting Highlands.

Menurut Shell, ada tiga kaedah bagaimana pengguna boleh memanfaatkan rangkaian 180 kW Recharge tersebut. Pertama, melalui cara bayar ikut penggunaan. Terbuka kepada semua pengguna EV, tanpa ada langganan diperlukan untuk ini. Di Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah RM4 yuran pengesahan dan RM20 bagi setiap lima minit pengecasan untuk 25 minit pertama, dengan RM20 bagi setiap lima minit berikutnya. Ini akan menjadikan jumlahnya RM240 sejam (atau RM244 dengan yuran pengesahan).

Cara kedua ialah melalui langganan selama setahun, yang menawarkan status Gold Member. Kos langganan ialah RM835 setahun, tetapi ini menawarkan kepada pelanggan kadar pengecasan lebih murah — bagi 10 jam pertama setiap tahun, pengguna akan membayar RM12 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, diikuti dengan RM5 bagi setiap tambahan lima minit berikutnya (yuran pengesahan RM4 kekal).

Ini menjadikan kadarnya RM95 sejam (atau RM99 dengan yuran pengesahan) dengan langganan. Selepas 10 jam pertama itu digunakan, tambah nilai kuota disediakan pada kadar RM80 sejam, walaupun kadar standard akan dikenakan kemudiannya.

Shell Recharge EV DCFC mula beroperasi di M’sia  – stesen pertama di Lebuhraya Utara-Selatan di Tangkak

Langganan juga menawarkan 10% pulangan tunai bagi semua stesen pengecas di Shell Recharge AC, serta kemudahan untuk menempah ruang mengecas melalui aplikasi ParkEasy — selepas pengesahan dan tempahan, ruang berkenaan akan dikhaskan untuk anda sehingga tempoh sejam sebelum ketibaan anda.

Ketiga, ia eksklusif untuk pengguna Porsche EV, dengan keahlian Platinum percuma selama tiga tahun diberikan untuk setiap pembelian model Taycan. Kadarnya juga lebih rendah — bagi 12 jam pertama yang digunakan setiap tahun, pengguna akan membayar RM10 bagi setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Ini diikuti dengan RM5 bagi tambahan setiap lima minit selepas itu (RM4 yuran pengesah juga masih kekal).

Ini menjadikan kadar RM85 sejam (RM89 dengan yuran pengesahan). Tambah nilai kuota selepas 12 jam penggunaan juga ada pada kadar RM60 sejam, dengan kadar standard untuk pengecasan. Pemilik Taycan dari Malaysia juga boleh menikmati diskaun eksklusif sebanyak SGD 0.10 per kWh daripada kadar dikenakan ketika mengecas di Singapura, sah untuk 600 kWh pertama setahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required