Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Dato’ Zailani Haji Hashim mengumumkan, pihaknya telah berjaya mencapai sasaran untuk kutipan hasil bagi tahun kewangan 2021 iaitu mencecah RM4,004,994,005. Di mana sebanyak RM2.79 bilion atau 70% daripada keseluruhan jumlah hasil tersebut dijanakan menerusi pembaharuan cukai jalan, diikuti dengan RM521.1 juta pula atau 13% adalah dari pembaharuan lesen memandu.

“Walau pun pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan empat fasa moratorium iaitu penangguhan pembaharuan cukai jalan kenderaan (LKM) dan lesen memandu kenderaan (LMM) sehingga 31 Dis 2021, namun hasil kerjasama semua pihak termasuk rakan strategik JPJ termasuk Percetakan Keselamatan Nasional Bhd., MyeG, Puspakom, Pos Malaysia Bhd., dan pihak-pihak pemain industri lain, sama ada secara langsung dan tidak langsung, kutipan hasil sebanyak RM4 bilion ini berjaya diperoleh dan menepati sasaran.

“Manakala RM71.2 juta atau 1.78% daripadanya adalah hasil kutipan saman yang telah dilangsaikan oleh pesalah trafik, iaitu mencecah 507,956 saman daripada 1,039,612 saman yang dikeluarkan sehingga Disember 2021,” katanya di dalam Majlis Amanat Tahun Baharu jabatan berkenaan pagi tadi.

Malahan pada tahun lalu juga, menerusi pengeluaran 117 siri/Negeri bagi nombor pendaftaran kenderaan, JPJ telah mengaut keuntungan sebanyak RM204 juta, iaitu lebih kurang RM1.7 juta untuk setiap siri nombor yang dikeluarkan. Statistik ini menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun 2020, iaitu hanya sebanyak RM177 juta, untuk sebanyak 130 siri nombor, dengan kutipan hasil sebanyak RM1.3 juta bagi setiap siri nombor yang dikeluarkan.

Jelasnya lagi, sehingga Disember 2021, jumlah kenderaan yang berdaftar di seluruh negara mencecah 33.10 juta unit iaitu meningkat sebanyak 800,000 unit kenderaan berbanding tahun 2020. Manakala bilangan pemegang lesen memandu pula berjumlah 16.2 juta (peningkatan sebanyak 5.1%), berbanding sebanyak 15.8 juta orang pada tahun 2020.

“Dalam ledakan era teknologi IR4.0 ini, serta dengan transisi penggunaan atau pengaplikasian 4G kepada 5G, maka JPJ juga sedang dan akan menerokai segala ruang-ruang yang tersedia, demi memastikan bukan sahaja sasaran hasil Kerajaan sentiasa konsisten pada setiap tahun, malah tahap penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan juga kekal mencapai tahap yang optimum.

“Untuk itu, pihak JPJ akan memastikan menjelang tahun 2023, kebanjiran pelanggan ke kaunter-kaunter JPJ akan semakin berkurangan, kerana hampir kebanyakan jenis perkhidmatan jabatan akan lebih banyak disajikan secara atas talian (online), dan kaunter JPJ akan lebih bersifat e-counter,” katanya sambil menambah untuk tahun 2022, pihaknya mensasarkan kutipan hasil sebanyak RM4.12 bilion untuk dicapai.