Gordon Murray Automotive T.33 diperkenal – supercar dengan enjin V12 NA 3.9 liter 615 PS, harga RM7.7 juta

Gordon Murray Automotive T.33 diperkenal – supercar dengan enjin V12 NA 3.9 liter 615 PS, harga RM7.7 juta

Selepas memperkenalkan kepada dunia T.50 dan versi litarnya, T.50s Niki Lauda, Gordon Murray Automotive kini mendedahkan pula supercar kedua mereka, iaitu T.33. Sama seperti T.50, model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja, dan harganya kurang sedikit berbanding T.50, iaitu 1.37 juta pound British (RM7.7 juta).

Dengan harga itu, pembeli akan mendapat enjin sama seperti T.50, iaitu unit NA V12 3.9 liter yang direka bersama Cosworth, dan mampu menghasilkan 615 PS pada 10,500 rpm dan 451 Nm tork pada 9,000 rpm. Apabila digabungkan bersama berat kenderaan yang disasarkan berada bawah 1,100 kg, T.33 mencatat nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik (564 PS bagi setiap tan) berbanding McLaren F1.

Meskipun kuasa ini lebih rendah berbanding T.50 (663 PS dan 467 Nm), 75% daripada torknya dapat dilepaskan pada tahap 2,500 rpm sementara 90% tork keluar dari 4,500 hingga 10,500 rpm. Ini dapat dicapai melalui larasan semula tahap rpm maksimum menjadi 11,100 rpm, iaitu 1,000 rpm lebih rendah berbanding T.50.

Tahap rpm maksimum yang lebih rendah itu dibuat bagi memudahkan penggunaan harian dan menjadikan T.33 kurang “ekstrem.” Kemudiannya, Murray juga bukan setakat akan menyediakan transmisi manual enam kelajuan Xtrac untuk T.33 ini, tetapi pelanggan juga boleh mendapatkan unit semi automatik dengan pedal penukar gear di stereng.

Pakej penggerak ini dijadikan sebagai sebahagian daripada struktur monocoque gentian karbon dan iFrame, yang masih lagi mempunyai daya tahan kilasan yang kuat meskipun ringan. Suspensi hadapan menggunakan unit double wishbone dengan coil spring serta penyerap aluminium.

Kereta ini juga dipasang dengan sistem Inclined Axis Shear Mounting (IASM), di mana suspensi belakang disambungkan terus kepada kotak transmisi, dengan beban kilasan disokong oleh casis serta keseluruhan enjin yang dipasang atas getah anti gegaran. Sistem stereng menggunakan unit hidraulik demi memberikan maklum balas yang memuaskan pemandu.

Gordon Murray Automotive T.33 diperkenal – supercar dengan enjin V12 NA 3.9 liter 615 PS, harga RM7.7 juta

Rim berbeza saiz digunakan pada T.33, iaitu 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dengan dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4 S dan di sebaliknya terdapat brek seramik karbon Brembo yang terdiri daripada cakera 370 mm dan angkup enam piston di hadapan, serta cakera 340 mm dan angkup empat piston di belakang.

Menutupi semua bahagian mekanikal ini adalah badan gentian karbon sepenuhnya dan sudah tentu, ia direka dengan mengambil kira kecekapan aliran udara untuk membantu kenderaan menjadi lebih aerodinamik dan melekap atas jalan.

Tiada spoiler yang besar pada T.33, dan ia sebaliknya menggunakan unit aktif yang boleh tenggelam apabila tidak diperlukan. Kemudiannya di atas bumbung, terdapat salur yang menghalakan angin kepada bahagian intake.

Walaupun dengan semua elemen prestasi ini, Murray masih mengambil kira praktikaliti dan menghasilkan ruang simpanan barang di bahagian hadapan kenderaan, serta dua poket khas di tepi dengan jumlah ruang 280 liter.

Bahagian dalam T.33 dibuat serba ringkas seperti kereta untuk nikmat pemanduan dan tiada sebarang skrin sesentuh di bahagian tengah papan pemuka. Di hadapan pemandu terdapat satu tolok analog untuk rpm dan di kiri dan kanannya terdapat skrin digital untuk paparan fungsi lain termasuk sistem infotainmen dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Butang kawalan menggunakan tombol bulat.

Dengan harga yang tinggi dan ciri eksklusifnya, setiap komponen pada T.33 dibuat khas menggunakan bahan berkualiti. Malahan, mereka yang mahu membeli model ini juga perlu melalui proses spesifikasi khas demi memastikan ergonomiknya bersesuaian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required