Michelin Pilot Sport 5, Primacy 4+ diperkenal secara rasmi, dilancar ke pasaran global bermula Mac 2022

Michelin Pilot Sport 5, Primacy 4+ diperkenal secara rasmi, dilancar ke pasaran global bermula Mac 2022

Selepas pengenalan tidak rasmi Michelin Pilot Sport 5 minggu lalu, pembuat tayar dari Perancis berkenaan kini memperkenalkan secara rasmi tayar ultra prestasi generasi kelima tersebut dan juga siri Primacy 4+ baharu.

Bermula 1 Januari lalu, Pilot Sport 5 tersebut sudahpun mula dijual di pasaran Eropah, ditawarkan dalam 50 saiz berbeza untuk digunakan pada rim 17- hingga 21-inci. Manakala untuk pasaran lain di seluruh dunia, jualannya akan bermula pada 1 Mac ini.

Siri baharu yang menggantikan Pilot Sport 4 tersebut menampilkan teknologi “Dynamic Response” dari Michelin yang menggunakan hybrid belt dihasilkan dari aramid dan nylon bagi mengukuhkan struktur tayar dan mengekalkan kestabilan permukaan sentuhan.

Manakala “MaxTouch Construction Technology” Michelin yang digunakan pada tayar ini pula akan mengagihkan beban ketika memecut, membrek dan mengambil selekoh secara sekata, membolehkan bunga tayar bertahan lebih lama. Dengan rekaan Dual Sport Tread pada bunga tayar Pilot Sport 5 ini pula, Michelin menjanjikan “kawalan maksima dengan cengkaman dan prestasi membrek atas permukaan kering dan basah yang sangat baik”.

Rekaan Dual Sport Tread tersebut menampilkan bunga pada sebelah luar yang diberikan blok yang tegar bagi mengoptimakan cengkaman ketika kering, manakala bunga sebelah dalam pula direka bagi memberikan cengkaman ketika basah.

Michelin turut menyatakan bahawa Pilot Sport 5 ini diberikan ciri “Groove Clear”, iaitu alur memanjang yang besar bagi mengalirkan air kepada alur melintang yang lebar bagi ‘membuang’ air berkenaan, untuk memberikan pengendalian dan keselamatan yang lebih baik ketika memandu dalam hujan.

Merujuk kepada laman sesawang rasmi Michelin Jepun, tayar Michelin Pilot Sport 5 ini mencatatkan masa lap 1.7% lebih pantas berbanding Pilot Sport 4 di litar ujian rasmi mereka, dalam keadaan basah. Ia juga secara purata 1.5% lebih pantas berbanding tayar dari siri lama tersebut.

Manakala untuk tayar Michelin Primacy 4+, ia adalah versi kemaskini dari siri Primacy 4 sebelumnya. Tayar untuk musim panas berkenaan dihasilkan untuk hampir kesemua jenis kenderaan penumpang termasuk sedan dan SUV. Ciri unik untuk tayar ini adalah kelebihannya untuk memberikan prestasi membrek yang lebih baik pada permukaan basah walaupun dengan bunga tayar yang sudah berkurangan.

Menurut Michelin, ini membolehkan Primacy 4+ mencapai “keselamatan dari perbatuan pertama sehingga terakhir yang lebih baik”. Ia menggunakan teknologi Evergrip, yang menggabungkan dua lapisan getah bagi membolehkan ia terus memberikan cengkaman serta ‘membuang’ air walaupun bunga sudah mula haus.

Seperti juga Pilot Sport 5, Primacy 4+ juga sudahpun mula dijual di Eropah pada 1 Januari. Ia akan ditawarkan dalam 82 saiz untuk rim berdiameter 16- hingga 19-inci pada Mac nanti. Manakala menjelang akhir tahun, ia akan dihasilkan dalam 121 saiz untuk rim bermula 16- hingga 21-inci.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required