Volvo XC90 B5 Inscription Plus 2022 kini di Malaysia — SUV mild hybrid dengan 249 PS, harga dari RM387k

Volvo XC90 B5 Inscription Plus 2022 kini di Malaysia — SUV <em>mild hybrid</em> dengan 249 PS, harga dari RM387k

Volvo Cars Malaysia (VCM) telah melancarkan model XC90 B5 AWD Inscription Plus, yang menyertai XC90 Recharge T8 AWD Inscription Plus dalam barisan penawarannya. Dengan model kedua berkenaan merupakan model plug-in hybrid, penawaran terbaru ini sedikit berbeza kerana menggunakan teknologi mild-hybrid, dibezakan dengan lencana “B” yang digunakan.

B5 AWD Inscription Plus kini menggantikan T5 AWD Momentum dan dijual pada harga RM386,842.12 atas jalan tidak termasuk insurans, dan itu termasuk pengecualian SST yang masih berlangsung — pada kadar 100% memandangkan ini model CKD. Sebagai perbandingan, Recharge T8 AWD Inscription Plus dijual pada harga sedikit lebih tinggi, RM393,845.92.

Janaan kuasa mild hybrid B5 ini bukanlah baru untuk pasaran tempatan, kerana ia pernah ditawarkan untuk XC60 facelift sejak November lalu. Tetapannya sama dengan XC90, dengan enjin petrol empat-silidner Drive-E 2.0-liter dan transmisi lapan-kelajuan automatik yang menyalurkan kuasa ke semua empat roda.

Volvo XC90 B5 Inscription Plus 2022 kini di Malaysia — SUV <em>mild hybrid</em> dengan 249 PS, harga dari RM387k

Motor elektriknya pula terletak di antara kedudukan enjin dan transmisi, dan bertindak sebagai generator penghidup bersepadu (ISG), yang membantu menjana semula tenaga kinetik ketika membrek dan menyokong enjin dengan menyediakan tambahan 14 PS (13 hp) dan 40 Nm. Motor elektriknya dan bateri lithium-ion disambungkan dan beroperasi dengan binaan elektrikal 48-volt, dengan output keseluruhan sistem adalah 249 PS (246 hp) dari 5,400 hingga 5,700 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 4,800 rpm.

Tetapan mild hybrid ini didakwa menawarkan operasi Start/Stop yang lebih lancar dan memberikan bacaan penggunaan minyak 8.2 liter per 100 km, sementara pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Laju maksimum dihadkan pada 180 km/j.

Dari segi kelengkapan, varian baru ini hampir sama dengan Recharge T8 Inscription Plus, dengan barang standard seperti casis aktif dengan empat suspensi udara, pakej penggayaan luaran Inscription, rim aloi 10-jejari saiz 20-inci hitam dengan tayar 275/45, lampu depan LED dengan ciri Active High Beam serta Active Bending Lights, DRL LED, bumbung panoramik serta sistem pintar tanpa kunci.

Di dalam, kelengkapan yang disediakan termasuklah kluster instrumen digital 12.3-inci, head-up display, tombol gear kristal Orrefors, tombol kawalan corak berlian, kerusi selesa dengan balutan kulit Nappa, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan pendingin hawa empat-zon dengan corong dibarisan kedua dan ketiga, sistem infotainmen Sensus Connect (Android Auto dan Apple CarPlay), 19-pembesar suara, sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,400-watt dan pengecas telefon tanpa wayar.

Ciri keselamatan juga sama, model ini turut hadir dengan City Safety (brek kecemasan autonomous dan sokongan stereng), Lane Keeping Aid, penghindaran terkeluar laluan dengan pengesan bucu jalan, penghindaran laluan bertentangan, peninjau titik buta dengan bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, Pilot Assist dan kawalan melayar adaptif semuanya sebagai ciri standard.

Jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan turut disertakan dengan setiap pembelian, dan pembeli boleh memilih daripada empat warna luaran — Denim Blue, Onyx Black dan Pebble Grey (warna metalik) dan Crystal White (penyudah pearl).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required