Mercedes-Maybach Z223 dilancarkan di Malaysia – RM1.9 juta untuk model ultra-mewah S580 4Matic

Mercedes-Maybach Z223 dilancarkan di Malaysia – RM1.9 juta untuk model ultra-mewah S580 4Matic

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan Mercedes-Maybach S-Class Z223 di pasaran tempatan hanya selepas dua bulan model S-Class Z223 ‘biasa’ diperkenalkan di sini.

Model yang lebih mewah dari sedan mewah S-Class ini dibawa ke pasaran tempatan dalam varian S580 4Matic. Ia djual pada harga atas jalan bermula RM1,928,815.76 (tanpa sebarang opsyen), lengkap dengan insentif potongan cukai jualan 5% untuk model CBU sehingga hujung Jun 2022. Model ini turut diberikan waranti pengeluar selama empat tahun tanpa had perbatuan.

Berbanding S-Class biasa, Maybach S-Class ini dihasilkan lebih panjang bagi memberikan ruang kabin belakang lebih luas. Secara keseluruhan, model ini diukur dengan panjang 5,469 mm (180 mm lebih panjang dari S-Class versi jarak roda panjang), bersama jarak roda sejauh 3,396 mm. Lebarnya masih dikekalkan dengan ukuran 1,921 mm, tetapi bumbungnya dibuat lebih tinggi dengan ukuran 1,510 mm bagi memberikan ruang kepala lebih luas.

Mercedes-Maybach Z223 dilancarkan di Malaysia – RM1.9 juta untuk model ultra-mewah S580 4Matic

Maybach S-Class ini juga tampil dengan rupa luaran tersendiri. Ia diberikan penutup bonet hadapan yang diberikan sirip krom, bersama gril radiator Mercedes-Maybach yang menampilkan jalur tiga-dimensi menegak, berbanding melintang pada S-Class standard.

Ia juga menerima lebih banyak kemasan krom, termasuk pada kemasan gril bawah bawah bampar hadapan, kemasan diffuser bawah bampar belakang, sepanjang bahagian atas lampu belakang dan merentangi penutup but belakang serta sekeliling cermin tingkap sisi.

Tiang-C juga direka lebih ‘tebal’ (bersama logo Maybach) bagi memberikan privasi lebih baik kepada penumpang belakang. Untuk memberikan penampilan lebih menyerlah dan mewah, Mercedes-Maybach S580 ini turut ditawarkan dengan warna badan dua ton secara opsyen, dan ia dilayangkan dengan tangan manusia. Model pasaran Malaysia ini turut menerima rim aloi forged pelbagai jejari 21-inci.

Mercedes-Maybach Z223 dilancarkan di Malaysia – RM1.9 juta untuk model ultra-mewah S580 4Matic

Walaupun menampilkan saiz yang besar, kabin Mercedes-Maybach S580 ini hanya dihasilkan hanya untuk memuatkan empat orang, termasuk pemandu bagi memberikan keselesaan yang maksimum. Kabin boleh diakses menerusi pintu bantuan kuasa, dan penumpang belakang menerima tempat duduk First-Class, yang hadir dengan konsol tengah saiz penuh secara standard

Tempat duduk tersebut dibalut dengan kulit Nappa Maybach Exclusive, bersama larasan elektrik untuk bantal perehat kepala dan ottoman, serta fungsi lain termasuk memori larasan, pemanas dan aliran udara serta sistem urutan. Penumpang belakang juga diberikan meja yang boleh dilipat ke dalam konsol tengah jika tidak digunakan.

Kedua-dua penumpang belakang juga boleh melaras tempat duduk hadapan bagi mendapatkan ruang yang cukup selesa menggunakan tablet Android tujuh-inci, serta diberikan skrin infotainmen 11.6-inci masing-masing yang dilekatkan pada bahagian belakang tempat duduk hadapan untuk menonton filem. Juga, peti sejuk bina dalam turut dilengkapkan pada kabin belakang limosin ini untuk menyimpan minuman.

Penumpang belakang juga diberikan kawalan terhadap sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang menampilkan sistem MBUX Interior Assistant. Sistem ini membolehkan pelbagai fungsi diaktifkan termasuk menggerakkan tempat duduk tanpa penumpang di hadapan ke posisi chauffeur dan menyalakan lampu kabin apabila penumpang mahu memegang pemegang tangan – semuanya secara automatik.

Secara standard, model ini dibekalkan dengan sistem bunyi 3D dengan 15 pembesar suara berkuasa 710 watt, bersama sistem penyah bunyi bising aktif. Namun pembeli boleh memilih sistem bunyi surround Burmester 4D dengan kos tambahan.

Kabin Maybach S580 ini juga diberikan lampu suasana aktif 64-warna dengan 253-LED yang disertakan dengan dua tema warna unik iaitu rose gold white dan amethyst glow. Pemandu pula menerima paparan head-up realiti terimbuh (AR) bersaiz besar, memaparkan pelbagai informasi penting ke hadapan termasuk maklumat sistem navigasi. Pemandu turut boleh menurunkan pelindung matahari pada cermin belakang dengan cara hanya menoleh ke belakang.

Mercedes-Maybach Z223 dilancarkan di Malaysia – RM1.9 juta untuk model ultra-mewah S580 4Matic

Fungsi lain dari S-Class biasa juga di bawa ke Maybach S-Class ini, termasuk skrin sesentuh utama 12.8-inci OLED dengan format potret (turut digunakan untuk kawalan sistem pendingin hawa empat zon), dan juga paparan instrumen 12.3-inci dengan kesan 3D.

Kit standard lain yang dibekalkan termasuk lampu hadapan LED adaptif Digital Light, pembuka pintu yang tertanam, tempat duduk hadapan larasan kuasa Multicontour dengan fungsi memori, pemanas, penyejuk dan pengurut, kemasan-kemasan kayu walnut Manufaktur dan perapi-perapi aluminium, bumbung panaromik, karpet kaki tebal, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi di hadapan dan belakang, sistem kamera 360-darjah dan penutup but berkuasa bukaan tanpa sentuh.

Maybach S-Class S580 ini menerima enjin yang lebih berkuasa dari S-Class S580e pasaran tempatan. Ruang bonet hadapan sedan mewah ini disumbatkan dengan enjin M178 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo dari AMG, menghasilkan 503 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 700 Nm bermula 2,000 hingga 4,500 rpm. Tak cukup dengan itu, ia turut menerima tujahan sistem elektrik dari sistem hibrid ringkas EQ Boost 48-volt, menghasilkan kuasa tambahan 20 PS/200 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic. Dengan lencana 4Matic, sudah tentu ia menerima sistem pacuan semua roda. Ini membolehkan gergasi empat pintu tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.8 saat. Ia juga mampu mencapai penggunaan bahan api antara 10.2 dan 10.9 liter untuk setiap 100 km.

Untuk keselamatan pula, Maybach S580 dilengkapi pakej Driver Assistance yang merangkumi sistem brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki dan lintasan trafik yang diperhalusi, cruise control adaptif bersama fungsi stop & go (kini mampu mengelakkan pelanggaran hadapan pada kelajuan 130 km/j) dan juga bantuan kekal tengah lorong bagi melengkapkan sistem pemanduan autonomi Tahap 2.

Sebanyak 14-beg udara dibekalkan pada sedan mewah ini termasuk beg udara khas untuk penumpang belakang yang diletakkan di belakang tempat duduk hadapan dan sisi. Ia juga menerima sistem Pre-Safe dan Pre-Safe Impulse Side yang memberikan perlindungan sisi lebih baik jika berlaku rempuhan pada bahagian tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required