Lamborghini Aventador LP 780-4 Ultimae dilancar di Malaysia – dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai

Lamborghini Aventador LP 780-4 Ultimae dilancar di Malaysia – dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai

Bersekali dengan pembukaan bilik pameran baru di Glenmarie, Shah Alam hari ini, Lamborghini Kuala Lumpur juga telah melancarkan Aventador LP 780-4 Ultimae untuk pasaran, pada harga asas RM1.8 juta untuk versi coupe dan RM1.9 juta untuk versi roadster. Harga ini tidak termasuk cukai, insurans, pendaftaran dan aksesori tambahan lain.

Dalam pasaran sedunia, model yang dikeluarkan sebagai tanda pengakhiran bagi Aventador ini hanya dihasilkan sebanyak 350 unit bagi versi coupe dan 250 unit bagi versi roadster. Ia juga adalah Lamborghini berenjin V12 tanpa bantuan elektrik yang paling berkuasa pernah dikeluarkan.

Gelaran ini datang hasil daripada penggunaan enjin V12 NA 6.5 liter yang ditala khas untuk memberikan 40 PS (39 hp) lebih berbanding Aventador S, dan 10 PS (10 hp) lebih berbanding Aventador SVJ, dengan jumlah kuasa keseluruhan 780 PS (769 hp) pada 8,500 rpm dan 720 Nm tork pada 6,750 rpm.

Sama seperti model Aventador yang lain, enjin model keluaran terhad ini dipadankan bersama kotak gear Independent Shifting Rod (ISR) tujuh kelajuan, serta sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 2.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 355 km/j.

Pelbagai cara dibuat untuk meringankan kereta ini, sekaligus menjadikan beratnya cuma 1,550 kg bagi versi coupe, iaitu kurang 25 kg berbanding Aventador S. Brek seramik karbon digunakan untuk menghentikan kereta ini, dan daripada kelajuan 100 km/j, ia boleh berhenti dalam jarak cuma 30 meter.

Aspek rekaan Ultimae banyak menggunakan elemen daripada Aventador S dan SVJ, tetapi beberapa bahagian diubah menjadi lebih unik dengan mengambil kira kepentingan aerodinamik serta sistem penyejukan, seperti bampar dan splitter.

Lamborghini Aventador LP 780-4 Ultimae dilancar di Malaysia – dari RM1.8 juta tidak termasuk cukai

Model ini tidak mempunyai bonet berlubang serta sayap yang besar di belakang seperti SVJ, tetapi ia dipasang dengan ekzos yang keluar lebih tinggi serta diffuser gentian karbon yang bekerjasama dengan sayap belakang jenis aktif.

Bahagian elektronik utama yang menjaga operasi kereta ini dipanggil sebagai Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva (LDVA), di mana ia menguruskan sistem seperti Lamborghini Dynamic Steering (LDS), four-wheel steering, suspensi aktif serta sistem pacuan semua roda, untuk memberikan dinamik yang terbaik dalam apa jua keadaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required