Negara kita jarang menerima model yang betul-betul dibangunkan khas. Biasanya, apa yang masuk ke dalam negara kita adalah model yang sudah dilancarkan di beberapa negara jiran terlebih dahulu, atau dipilih daripada senarai model sedia ada.
Tetapi bagi Yamaha 135LC Fi, ia adalah berbeza. Model ini dibuat khas untuk Malaysia dan setakat ini masih tiada dijual di negara lain. Menurut pengarah urusan Hong Leong Industries Bhd, Datuk Dr Jim Khor, perkara ini berlaku di atas beberapa sebab.
“Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Yamaha Motor Co Ltd untuk Asia, di Indonesia, Thailand dan Vietnam, penguasaan pasaran motosikal berkapasiti rendah adalah terdiri daripada sekitar 55 peratus untuk moped (motosikal bergear) dan 45 peratus untuk skuter. Malaysia pula berbeza, di mana 70 hingga 80 peratus adalah untuk moped sementara selebihnya barulah skuter. Orang Malaysia nampaknya masih ramai yang memilih moped berbanding skuter.”
Kemudiannya apabila merujuk kepada 135LC Fi ini, Jim memberitahu, ia adalah model yang sesuai kerana walaupun sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2006, ia masih digemari ramai dan jumlah jualannya masih tinggi, meskipun sudah ada model yang terletak di atasnya, iaitu Y15ZR.
Menariknya lagi, idea untuk memperkenalkan 135LC Fi ini datang daripada pengurusan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sendiri, dan permintaan itu dihantar kepada ibu pejabat Yamaha di Jepun. Setelah melihat data-data yang diberi oleh HLYM (termasuk berkenaan penjualan 135LC selama belasan tahun di Malaysia), Yamaha Motor Co Ltd Japan bersetuju untuk membangunkan model 135LC baru, khas untuk Malaysia.
Bermakna, walaupun idea dan input itu daripada HLYM, rekaannya masih dibangunkan di Jepun, dan selepas itu barulah ia dihantar ke Malaysia untuk proses pengeluaran. Jadi, kami rasa, jurutera Jepun juga seakan bersetuju dengan cita rasa rakyat Malaysia seperti yang ditunjukkan melalui campuran bahagian-bahagian pada 135LC Fi, ini seperti rim Y125ZR, lampu Y15ZR, meter Y16ZR serta brek cakera belakang.
Apabila ditanya kepada pengurus besar pemasaran dan META HLYM, Tim Hoo sama ada 135 LC Fi ini akan dijual di negara lain atau tidak, beliau menjawab setakat ini masih belum ada perancangan lagi. Walaubagaimanapun, jika ada permintaan, contohnya daripada Vietnam atau Indonesia, mereka mungkin akan mempertimbangkannya.
Satu lagi, kenapa 135LC Fi masih tidak menggunakan klac tangan? Daripada jawapan yang kami dapat, keputusan ini diambil kerana statistik HLYM menunjukkan sepanjang 135LC dikeluarkan, walaupun dengan adanya versi klac tangan sebelum ini, masih ramai yang memilih versi tanpa klac, sehingga 70 peratus.
GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition
GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition