Honda akhirnya mendedahkan secara rasmi Hawk 11 di Osaka Motorcycle Show, iaitu sebuah motosikal moden retro dengan penggayaan ala cafe racer serta enjin berkapasiti tinggi. Setakat ini ia hanya diberitahu untuk pasaran domestik Jepun sahaja,
Selain ditunjukkan kepada orang ramai sewaktu acara itu, Honda masih belum mendedahkan spesifikasi penuh motosikal ini, dan hanya mengeluarkan beberapa video di laman Youtube. Kemudiannya, siaran akhbar juga agak ringkas dengan hanya terdapat beberapa perincian.
Antara yang utama adalah ia dipacu oleh enjin dua silinder selari 1,082 cc OHC, bersama padanan transmisi manual enam kelajuan. Kawalan pendikit datang dengan sistem ride-by-wire dan penunggang disediakan dengan beberapa mod termasuk Sport, Standard, Rain dan User.
Melalui video yang disiarkan juga kita dapat mengetahui bahawa setiap mod akan melaras penyampaian kuasa, kawalan cengkaman serta engine braking sementara dalam mod User penunggang boleh melaras setiap satu daripadanya secara berasingan.
Hawk 11 juga tidak datang dengan senarai kelengkapan yang paling tinggi kerana suspensinya (fork USD) dilihat bukanlah unit prestasi tinggi yang boleh dilaras sementara brek pula menggunakan angkup daripada Nissin (tetapan berkembar di hadapan).
Kelengkapan lain pada Hawk 11 adalah seperti semua lampu jenis LED, pacuan rantai, tempat duduk rekaan bertingkat serta panel meter digital LCD. Semasa di acara itu juga Honda telah membawa sebuah Hawk 11 yang dipasang dengan aksesori warna putih seperti dalam gambar), termasuk ekzos daripada Moriwaki serta besi penghadang enjin.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.