SUV kompak dengan saiz seperti Perodua Ativa, Nissan Magnite yang diproduksi di kilang Renault Nissan Automotive India Pvt Ltd (RNAIPL) di Chennai, India kini sudahpun mencatatkan produksi mencecah 50,000 unit walaupun hanya berada dalam pasaran dalam masa tidak sampai tiga tahun.

Nissan Magnite membuat kemunculan sulungnya pada Oktober 2020 di India, kemudian mula dijual secara rasmi di pasaran berkenaan pada Disember 2020. Apa yang lebih menarik, angka produksi tersebut dicapai ketika tempoh dunia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dan masalah bekalan cip semikonduktor yang masih belum berkesudahan.

SUV yang dihasilkan di India bersama kembarnya, Renault Kiger berkenaan bukan hanya dijual dipasaran domestik, malah turut dieksport ke 15 pasaran lain di seluruh dunia. Menurut Nissan lagi, sehingga kini mereka telah pun menerima tempahan melebihi 100,000 unit untuk Magnite.

“SUV ‘buatan India, dibuat untuk seluruh dunia’ ini telah menjadi model teras di bawah strategi transformasi global Nissan. SUV yang besar, garang dan cantik memainkan peranan penting dalam memperkasakan penampilan Nissan di India dan luar negara. Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pekerja kami kerana menjadikan Nissan Magnite kejayaan yang memberangsangkan di India dan merentasi pasaran global,” kata Sinan Ozkok, Presiden Nissan Motor India.

Selain rupanya yang menarik, faktor yang menyebabkan Magnite begitu laris dalam pasaran adalah kerana harganya yang begitu kompetitif. Ketika dilancarkan, Magnite ditawarkan dalam 10 varian berbeza dengan pilihan enjin 1.0 liter tanpa turbo dan juga enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo.

Model paling asas dengan enjin 1.0 liter NA bersama kotak gear manual dijual pada harga bermula 4.99 juta rupee (RM28k), manakala varian paling tinggi dengan enjin turbo dan kotak gear CVT automatik dijual pada harga 9.35 juta rupee (RM52k).

Magnite turut sudah dilancarkan di Indonesia juga pada Disember 2020. Ia ditawarkan dalam tiga varian berbeza di negara tersebut bermula dengan model paling asas Upper MT berharga 208.8 juta rupiah (RM61k), model spesifikasi tinggi Premium MT berharga 226.3 juta rupiah (RM67k) dan model kemasan sama dengan kotak gear automatik Premium CVT berharga 238.8 juta rupiah (RM70k).

Bagi model dengan enjin NA, enjin 1.0 liter berkenaan hanya menghasilkan 72 hp dan tork maksima 96 Nm. Manakala versi turbo pula, Magnite dijana oleh enjin HR0A 1.0 liter tiga-silinder yang sama pada perut sedan segmen-B Almera Turbo, menjana 100 PS dan tork maksima 160 Nm.

Panjang keseluruhan SUV ini adalah 3,994 mm dengan jarak roda 2,500 mm. Manakala lebarnya pula adalah 1,758 mm dengan tinggi 1,572 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Perodua Ativa, Magnite adalah 71 mm lebih pendek dan jarak rodanya pula adalah 25 mm lebih dekat.

Nissan Magnite ini juga menampilkan ciri keselamatan yang agak rendah – ia hanya menerima dua beg udara tanpa sebarang sistem bantuan pemanduan, serta menerima penarafan hanya empat bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP. Manakala bagi Perodua Ativa, semua model menerima enam beg udara dan brek kecemasan automatik, sistem bantuan keselamatan dengan pemanduan autonomi Tahap 2 untuk model tertinggi, serta menerima penarafan lima-bintang dalam ASEAN NCAP.