Renault Kiger di Indonesia – dua varian 1.0L, dr RM64k

Renault Kiger di Indonesia – dua varian 1.0L, dr RM64k

Selepas pelancarannya di India pada Januari lalu, SUV kompak Renault Kiger telah pun mula dijual di Indonesia dengan harga bermula 220 juta rupiah (RM63,842) dan terdapat dua varian ditawarkan.

Kedua-duanya dijanakan oleh enjin 1.0 liter petrol; dengan varian asas adalah unit naturally aspirated yang mampu menghasilkan kuasa 72 PS dan tork 96 Nm dan dipadankan bersama transmisi manual automatik. Sementara varian tertinggi RXZ pula menerima unit pengecas turbo dengan hamburan kuasa 100 PS dan tork 152 Nm, dipadankan dengan CVT. Varian RXZ ini ditawarkan pada harga 275.9 juta rupiah (RM80,156).

Bagi aspek luarannya, Kiger untuk pasaran Indonesia mirip dengan versi yang dijual di India, termasuk lampu utama Pure Vision LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) di bawahnya.

Ia turut diberikan roda aloi potongan-berlian dua-tona bersaiz 16-inci dengan dibaluti tayar 195/60. Selain itu, ia juga menerima brek cakera untuk gandar hadapan dan brek dram di belakang, sementara suspensinya diberikan topang MacPherson di hadapan dan coil-sprung torsion beam di belakang.

Di dalamnya, ia ada beberapa ciri yang sama dengan versi yang dilancarkan di India, termasuklah panel instrumen TFT tujuh-inci serta pendingin hawa yang dilengkapi penapis udara kabin PM2.5. Untuk hiburan, ia disediakan menerusi skrin sesentuh lapan-inci, dengam ketersambungan telefon pintar tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Manakala untuk audio pula dikendalikan oleh sistem Arkamys 3D dengan enam-pembesar suara.

Seperti kembarnya buatan Nissan, Magnite, Renault Kiger turut diberikan corong pendingin hawa belakang untuk penumpang di barisan kedua. Selain itu, untuk pasaran Indonesia, ia turut ditampilkan dengan pencahayaan ambien dalaman serta kad akses pintar untuk kemasukan tanpa kunci.

Renault Kiger turut menjanjikan ruang kaki penumpang belakang yang terbaik dalam segmennya, iaitu dengan 222 mm. Untuk kargo pula, tempat penyimpanan barangan hadir dengan kapasiti 405 liter, atau 879 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Renault berkata, Kiger turut mendahului segmen SUV empat-meter untuk panjang but, iaitu 626 mm dengan tempat duduk belakang dalam kedudukan biasa atau secara keseluruhan panjangnya cecah 1,565 mm.

Bagi kit keselamatan untuk pasaran Indonesia, Kiger diberikan ABS, bantuan brek, beg udara hadapan dan sisi untuk pemandu dan penumpang, kawalan cengkaman serta kamera undur. Terdapat lima pilihan warna ditawarkan khas untuk Kiger pasaran Indonesia iaitu Spirit Red, Energy Blue, Glamour Silver, Elegant Grey dan Bright White dan ia dipadankan dengan bumbung kontras rona hitam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required