Dengan pengenalan Ford Ranger Raptor generasi kedua, model prestasi bagi trak pikap berkenaan bakal dilengkapi dengan pilihan enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 serta enjin 2.0 liter biturbo diesel yang turut digunakan oleh Ranger versi lain.

Bagi pasaran Australia, ada khabar angin menyatakan varian prestasi tinggi itu akan dikuasakan oleh enjin petrol di sana, dengan unit diesel akan memasuki pasaran lain, lapor Car Expert.

“Enjin V6 petrol selalu menjadi nadi bagi Ranger Raptor bagi model generasi ini, tetapi kami juga sedia maklum yang ada pelanggan masih inginkan penjimatan dari enjin diesel. Untuk itu, penawaran enjin biturbo empat-silinder diesel untuk sesetengah pasaran akan diteruskan,” ujar Ketua Jurutera Program Ranger Raptor, Dave Burn.

“Bukan di Australia, tetapi di pasaran lain yang mana enjin V6 kurang sesuai, enjin biturbo empat-silinder diesel akan diteruskan,” sambungnya, merujuk kepada unit 2.0 liter biturbo diesel yang menjana sebanyak 213 PS dan 500 Nm.

Enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 pada Ranger Raptor menghasilkan 397 PS pada 5,650 rpm dan 583 Nm tork pada 3,500 rpm, yang digandingkan bersama kotak gear automatik 10-kelajuan dan pacuan empat roda — ini enjin yang sama ditawarkan pada Ford Ranger Raptor 2023 yang dijual di Thailand.

Ranger Raptor juga dibezakan dengan kelengkapan prestasi untuk off-road, seperti penyerap hentak 2.5-inci Fox dengan ciri Live Valve serta lengan atas dan bawah aluminium ringan dan sistem kawalan Bottom-Out yang menghindari kenderaan daripada hilang kestabilan ketika memecut. Tayar yang digunakan oleh Ranger Raptor 2023 ini adalah BFGoodrich K02 dengan saiz 285/70R17.