BYD tamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman, beri tumpuan kepada EV dan plug-in hybrid

BYD tamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman, beri tumpuan kepada EV dan plug-in hybrid

Pengeluar kenderaan China BYD telah menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya dan mengalihkan perhatian kepada model elektrik sepenuhnya dan plug-in hybrid, lapor Reuters.

“Di masa hadapan, BYD akan memfokuskan pengeluaran kenderaan elektrik dan plug-in hybrid,” jelas pengeluar itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Saham Hong Kong.

Bagaimanapun, ini bukanlah pengakhiran kepada enjin pembakaran dalaman yang akan dihasilkan oleh BYD, memandangkan syarikat itu akan terus mengeluarkan enjin petrol berkapasiti kecil untuk kegunaan sistem plug-in hybrid. Langkah untuk menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin biasa ini adalah selari dengan ikrar kerajaan China untuk mengurangkan pembebasan karbon menjelang 2030.

BYD menghasilkan sebanya 104,878 unit kenderaan tenaga baru (NEV) di China pada Mac, menjadikan jualan bulan itu yang tertinggi bagi jenama berkenaan dengan jumlah yang berlipat kali ganda daripada 24,218 unit yang dicapai dalam bulan sama tahun lalu. Daripada jumlah ini, 53,664 unit merupakan kenderaan elektrik dan 50,674 unit kenderaan plug-in hybrid, serta 540 unit NEV komersial.

Walaupun akan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik dan elektrifikasi, syarikat ini bagaimanapun akan tetap menyediakan sokongan lepas jualan dan alat ganti kepada pelanggan dengan enjin biasa sebelum ini, sepanjang jangka hayat kenderaan terlibat.

Model terbaru diperkenalkan oleh BYD adalah Seal, model elektrik penuh yang menggunakan e-platfrom 3.0 yang bersaing dengan Tesla Model 3. EV terbaru itu memanfaatkan struktur elektrik 800-volt, dan dengan pek bateri Blade EV-nya, akan memberikan Seal jarak perjalanan 700 km bagi setiap pengecasan.

Versi pacuan roda belakang Seal EV datang dalam varian 204 hp dan 312 hp, sementara veri prestasi dengan dua motor menampilkan motor 217 hp di gandar depan yang disertai oleh unit 312 hp di belakang untuk menghasilkan output sistem 530 hp. Dalam konfigurasi ini, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Pengeluaran BYD Seal adalah dari kilang Changzhou, yang mana 60,000 unit akan dikeluarkan setahun. Syarikat mensasarkan jualan 5,000 unit Seal sebulan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required