Tempoh pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) di Johor sempena pembukaan semula laluan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat lalu akan tamat esok.
Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), operasi kutipan tol akan dilaksanakan seperti biasa mulai Jumaat ini, 7 April 2022. Justeru, para pengguna dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go mereka aktif serta mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar.
“Pengguna lebuh raya yang menggunakan RFID (tag Identifikasi Frekuensi Radio) untuk sistem VEP (Permit Masuk Kenderaan) turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang,” kata PLUS.
Jelasnya lagi, bagi pemandu Singapura yang bercadang untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go di Johor, mereka boleh berbuat demikian di lapan pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua selain pusat tambah nilai di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor.
“Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go. Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.
“Penguna lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan,” ujar PLUS lagi.
Pada 30 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari membabitkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula 1 April 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.