Selepas tiga bulan ditampilkan buat pertama kali di Malaysia, BMW i4 kini telah pun dibuka untuk tempahan, melengkapkan lagi barisan kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan. Gran Coupé lima-pintu sifar-emisi ini menyertai barisan iX dan iX3, memberikan lebih banyak penawaran dan prestasi yang lebih baik.

Hanya satu varian sahaja yang akan ditawarkan iaitu eDrive40 M Sport pacuan roda-belakang yang berharga atas jalan RM389,800 tanpa insurans. Angka ini termasuk dengan pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jalan yang diberikan oleh kerajaan untuk model EV, serta rebat bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal berakhir 30 Jun ini. Turut disertakan ialah waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had dan pakej servis; harga akan menurun sedikit sekiranya memilih waranti standard dua-tahun.

Agak mengejutkan apabila ia ditetapkan dengan harga yang agak tinggi, malah lebih tinggi berbanding iX3 dan iX. Dalam pasaran negara lain, i4 sebenarnya lebih murah berbanding iX3 dan iX. Walau bagaimana pun, ia didatangkan dengan lebih banyak kit kelengkapan yang diberikan secara standard berbanding dua lagi model tersebut.

Bagi penjana kuasanya, ia menggunakan satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan tork 430 Nm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu-kelajuan. Antara catatan prestasinya adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 190 km/j.

Berkenaan jarak gerak, bateri 83.9 kWh yang digunakan boleh memberi perjalanan sehingga 590 km dengan sekali cas. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (sambungan CCS Combo 2) dalam masa 10 minit, i4 boleh sudah boleh menyediakan jarak gerak 164 km sementara apabila menggunakan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2), ia akan mengambil masa 8.5 jam untuk penuh.

Model i4 ini adalah diasaskan dari 4 Series Gran Coupé dan ia menerima beberapa ciri rekaan unik yang mirip daripada model biasa dua-pintu itu. Ia ditampilkan dengan lampu utama trapezoidal, lampu belakang berbentuk-L dan gril berkembar ‘kidney’. Walau bagaimana pun versi elektrik ini diberikan corong Air Breather pada fender hadapan, dan antena shark fin profil yang lebih rendah.

Selain itu, kit M Sport ditambah dengan corong pengambilan yang lebih besar, skirt sisi yang lebih dalam dan panel kelabu kontras pada bampar belakang yang disambung pada diffuser besar. Tidak seperti kereta yang dipertontonkan pada Januari lalu, model tempatan ini menggunakan roda aloi yang lebih kecil dua-tona Style 860 M 19-inci. Selain itu, lampu utama Laserlight dan brek M Sport dengan kaliper biru juga diberikan secara standard.

Di dalamnya, i4 berbeza dari 3 Series, 4 Series dan 4 Series Gran Coupé menerusi penampilan panel paparan freestanding dari iX, disepadukan dengan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotaimen 14.9-inci. Ia juga menggunakan BMW Operating System 8 baharu dengan antara muka pengguna yang lebih menyerlah, bentangan instrumen yang boleh dikustom dan kawalan suhu bersepadu.

Pakej M Sport juga memberikan ciri tambahan termasuk roda stereng tiga-jejar, tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, kemasan aluminium dengan paten rhombic, pedal aloi dan headlining hitam. Papan pemuka dan tempat duduk pula dibaluti upholstery dengan kulit tiruan Sensatec, diberikan pilihan rona sama ada hitam, Mocha atau Tacora Red.

Ciri lain yang turut diberikan secara standard termasuk loadspeaker luaran untuk memberikan amaran kepada penjalan kaki tentang kehadiran kereta ini berhampiran mereka, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik tiga-zon, bantuan parkir, kamera 360-darjah, pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi Harman Kardon 525-watt, 17-pembesar suara dan tailgate bukaan kuasa bebas-tangan.

Bagi aspek keselamatan, i4 didatangkan dengan kelengkapan penuh Driving Assistant Professional, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan pengelak pelanggaran serta kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto.

i4 ini diberikan pilihan warna Black Sapphire, Mineral White dan Dravit Grey, dengan warna yang bakal ditawarkan kelak iaitu Sanremo Green dan Portimao Blue. Malah rona Brooklyn Grey juga akan diperkenalkan bagi menggantikan Dravit Grey. Menurut BMW Malaysia, bayaran ansuran bulanan akan bermula dari RM4,306.