Baru sahaja kami siarkan video berkenaan seorang penipu di Klang yang sengaja berlari ke arah kereta, seolah-olah dilanggar untuk mendapatkan ganti rugi – individu yang melakukan jenayah tersebut rupanya sudah pun ditahan polis.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa iaitu pemilik kereta dan dashcam berkenaan teah pun membuat laporan polis kira-kira jam 12 tengah hari, hari yang sama kejadian itu berlaku iaitu pada 7 April lalu. Insiden berkenaan berlaku di Jalan Goh Hock Huat, Klang melibatkan seorang suspek warga Myanmar berusia 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan lelaki terbabit ditahan di tempat kerjanya di Jalan Shahpadu di Rantau Panjang, Klang sekitar jam 10 pagi tadi.
“Lelaki berkenaan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan polis percaya dia bergerak sendiri dan bukannya membabitkan kegiatan sindiket.
“Kes akan diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Vijaya Rao, kejadian berlaku apabila pemandu kereta membelok ke kiri dan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas di jalan berkenaan.
“Difahamkan, lelaki berkenaan berada di tengah jalan secara tiba-tiba dan terus berlari, seterusnya melompat ke arah cermin hadapan kereta.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan terus beredar dari lokasi selepas pemandu memaklumkan keretanya mempunyai kamera papan pemuka dan kejadian itu dirakam,” terangnya lagi
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.