Subaru telah mendedahkan model facelift bagi Outback dalam penganjuran New York International Auto Show (NYIAS) 2022, selepas hampir tiga tahun wagon (jenama ini menggelarnya sebagai SUV) generasi ke-enam diperkenalkan buat pertama kalinya.
Untuk model tahun 2023, Outback menerima penggayaan yang dipertingkatkan dengan bahagian hadapan berwajah baharu, ditampilkan bersama gril yang lebih menyerlah. Tiada lagi kepingan melintang yang ditampilkan pada model sebelum ini, digantikan dengan kemasan baharu yang lebih berketerampilan dengan diserlahkan palang krom.
Bampar baharu juga diberikan untuk model facelift ini bersama lampu utama yang direka semula dengan sentuhan lebih bergaya, sama seperti yang ditampilkan pada model terkini WRX dan Levorg. Sementara itu, penutup hitam juga diaplikasikan pada bampar bagi melindungi bahagian bawah hadapan model ini, dan dilunjurkan sedikit hingga bersambung ke lampu utama.
Rekaan ini diinspirasikan dari varian Wilderness bagi Outback yang diperkenalkan Mac lalu (tidak disertakan bagi facelift ini), dengan sentuhannya dikurangkan sedikit untuk menutupi sebahagian kecil bampar. Bukan itu sahaja, lapisan gerbang roda diberikan tambahan untuk menampakkan model ini lebih bergaya disamping memberikan perlindungan ektra. Selain daripada perubahan yang dinyatakan ini, ciri lain bagi Outback masih dikekalkan seperti sebelum ini.
Untuk kelengkapannya, semua varian Outback didatangkan dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan Subaru EyeSight sebagai ciri standard, yang kini beroperasi secara lebih lancar dalam apa jua situasi pemanduan. Penambahbaikan ini hasil daripada perisian kawalan yang ditingkatkan dan juga tambahan bagi electric brake booster, di mana kemasan tertinggi Touring turut diberikan kamera mono sudut yang lebih lebar yang bekerjasama dengan sistem dwi-kamera EyeSight.
Subaru berkata pandangan bagi “third eye” turut ditambahkan bagi mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal secara lebih pantas apabila kenderaan memasuki persimpangan dalam kelajuan rendah. Touring juga menerima cermin pandang-belakang digital dengan auto-kelam, kompas dan HomeLink.
Ia juga dilengkapi dengan Pengesan Titik Buta dengan Bantuan Menukar Lorong dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, EyeSight kini juga diberikan Stering Kecemasan Automatik. Ciri baharu ini bekerjasama dengan Sistem Brek Pra-Pelanggaran yang membantu mengelak pelanggaran dalam kelajuan kurang daripada 80 km/j.
Penawaran enjin masih sama seperti sebelum ini, termasuk unit FA24F 2.4 liter turbo empat-silinder petrol dengan lonjakan kuasa 260 hp dan tork 376 Nm, serta enjin tanpa-turbo FB25DI 2.5 liter empat-silinder dengan 182 hp dan 239 Nm sebagai alternatif. Kesemua model Outback digandingkan dengan Lineartronic CVT bersama nisbah maya lapan-kelajuan dan pedal menukar gear, serta Symmetrical All-Wheel Drive.
Selain Trim, Outback juga dibarisi model asas, Premium, Limited dan Onyx Edition. Di mana varian Onyx Edition kini boleh ditempah dengan enjin tanpa-turbo jika tidak mahu unit FA24F.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.