Hyundai Ioniq 5 di M’sia – 11 unit pertama telah diserah kepada pelanggan, hampir 300 ditempah sejak dilancar

Hyundai Ioniq 5 di M’sia – 11 unit pertama telah diserah kepada pelanggan, hampir 300 ditempah sejak dilancar

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah menyerahkan 11 unit pertama kepada Ioniq 5 di Malaysia dalam satu majlis khas yang berlangsung di bilik pameran syarikat tersebut di Ara Damansara. 11 pelanggan pertama ini juga diberikan keahlian satu tahun percuma dengan ChargEV oleh Yinson GreenTech.

“Ini merupakan kenderaan elektrik kedua yang diperkenalkan oleh HSDM ke pasaran Malaysia. Memandangkan landskap mobiliti terus menyaksikan penggunaan kenderaan EV yang lebih meluas di Malaysia, kami berbesar hati untuk mengembangkan barisan EV kami dengan tawaran mampu milik berkualiti tinggi bertaraf dunia, menyokong peralihan negara ke arah masa depan mobiliti rendah karbon,” ulas Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, peruncitan dan pengedaran Sime Darby Motors Malaysia.

Tambahnya lagi, “Mentakrifkan semula gaya hidup mobiliti elektrik, Ioniq 5 menetapkan penanda aras baharu dengan pujian globalnya untuk menggabungkan kemampanan dengan prestasi yang berkuasa. Buktinya, sejak pelancaran di Malaysia pada Mac 2022, kami telah merekodkan hampir 300 unit tempahan. Ini sememangnya mencerminkan penerimaan yang sangat positif untuk kenderaan mampan yang inovatif ini, dan kami akan terus berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan,” kata Low Yuan Lung, pengarah urusan HSDM.

Untuk pasaran tempatan, Ioniq 5 ditawarkan dalam tiga varian; Lite, Plus dan Max, sama seperti penawaran Kona Electric sebelum ini. Lite dilengkapi bateri lithium ion polimer 58 kWh dan pacuan roda belakang, sementara Plus merupakan versi lebih lengkapnya. Max pula varian paling tinggi dengan bateri 72.6 kWh dan dwi-motor AWD.

Harga pula adalah seperti berikut; Lite (RM199,888), Plus (RM229,888) dan Max (RM259,888). Ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, dan tidak termasuk duti import dan eksais, cukai jualan serta cukai jalan. Sebagai perbandingan, Kona Electric dijual pada harga RM149,888 (39.2 kWh) hingga RM199,888 (64 kWh).

Ioniq 5 ini juga datang dengan jaminan standard dua tahun atau 50,000 km serta jaminan bateri EV lapan-tahun atau 160,000 km. Pakej lanjutan jaminan dan servis ditawarkan dengan kos tambahan RM10k, dan menjadikan tempoh jaminan lima-tahun atau 100,000 km, dan termasuk penyelenggaraan untuk tiga tahun atau 50,000 km. Jaminan bateri EV kekal sama.

Hyundai Ioniq 5 di M’sia – 11 unit pertama telah diserah kepada pelanggan, hampir 300 ditempah sejak dilancar

HSDM juga menawarkan dua pengecas di rumah sebagai pilihan — unit 7 kW AC pada harga RM6,000 atau 22 kW AC pada harga RM7,000. Harga ini termasuk pemasangan standard, tetapi ia mungkin melibatkan caj tambahan untuk penkabelan tambahan dan keperluan pemasangan lainnya. Jika anda pilih varian Max dan tambahn lanjutan jaminan dan pengecas 22 kW ini, harga maksimumnya adalah RM276,888.

Tentang spesifikasi. Varian 58 kWh RWD mempunyai motor belakang dengan janaan 170 PS/350 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sementara versi dwi-motor AWD pula dengan 305 PS/605 Nm (225 kW) dan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Jarak WLTP dengan satu cas penuh ialah 384 km bagi versi 58 kWh dan 430 km bagi versi 72.6 kWh AWD. Laju maksimum adalah 185 km/j untuk kedua-duanya.

Bagi pengecasan, dengan pengecas pantas 350 kW DC, ia boleh dilakukan dari 10%-80% dalam masa hanya 18 minit. Dengan hanya lima minit pengecasan saja sudah boleh memberikan 100 km jarak perjalanan mengikut kitaran WLTP. Memang kita belum mempunyai pengecas dengan kapasiti tinggi seperti ini, tetapi kereta ini mampu untuk menampung pengecasan pantas seperti ini jika ia tersedia nanti.

Hyundai Ioniq 5 Max 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required