Rakyat Malaysia pandu kereta guna ‘lesen terbang’ ditahan oleh polis di Australia; disabitkan bersalah

Rakyat Malaysia pandu kereta guna ‘lesen terbang’ ditahan oleh polis di Australia; disabitkan bersalah

Lesen memandu palsu atau lebih dikenali sebagai ‘lesen terbang’ tak dinafikan masih lagi wujud di Malaysia, dan masih lagi ada yang mendapatkan lesen tersebut kerana mahu jalan mudah untuk memiliki lesen tanpa sebarang kelas dan juga ujian. Impak terus daripada kegiatan haram ini sudah tentulah ia akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain kerana pemegang lesen tersebut sememangnya tidak pernah belajar berkenaan undang-undang jalan raya serta teknik-teknik memandu yang betul.

Kes terbaharu yang sedang tular di media sosial berkenaan pemegang lesen terbang ini mungkin bukan sahaja akan membahayakan pengguna jalan raya, malah agak memalukan negara kita – seorang rakyat Malaysia di New South Wales, Australia telah ditahan oleh pihak berkuasa di sana kerana memandu melebihi had laju dan dikesan menggunakan lesen terbang!

Perkara ini disebarkan menerusi hantaran yang dibuat oleh akaun Facebook Peronda Trafik dan Lebuhraya Polis NSW. Menurut hantaran berkenaan, Peronda Lebuhraya Griffith telah pun menahan sebuah Honda Accord berwarna hitam yang sedang menghala ke arah utara melalui Murrumbidgee Avenue Griffith, pada pukul 2 petang, 22 Disember 2021 kerana dipandu dengan kelajuan 113 km/j di kawasan had laju 100 km/j.

Setelah ditahan, peronda lebuhraya tersebut meminta pemandu Honda Accord berkenaan – seorang wanita warganegara Malaysia berumur 26 tahun – untuk menunjukkan lesen memandu, dan kemudian wanita yang dilihat memandu berseorangan itu menyerahkan lesen memandu Malaysia miliknya.

Rakyat Malaysia pandu kereta guna ‘lesen terbang’ ditahan oleh polis di Australia; disabitkan bersalah

Namun setelah polis berkenaan membuat pemeriksaan menerusi portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, disahkan bahawa wanita itu tidak memegang sebarang lesen memandu dalam mana-mana kelas di Malaysia. Menerusi pemeriksaan lanjut, peronda lebuhraya berkenaan juga mengesan nombor siri yang tidak konsisten pada lesen tersebut.

Wanita berkenaan kemudiannya disahkan hanya memiliki lesen pelajar (lesen L) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa New South Wales. Polis juga telah mendapat pengesahan dari Interpol bahawa lesen memandu Malaysia yang digunakan oleh wanita tersebut adalah palsu. Menerusi soal siasat yang dibuat, wanita itu mengaku bahawa dia meminta seseorang untuk menghasil lesen palsu berkenaan.

Polis telah memberikan tiga notis terhadap pelanggaran undang-undang jalan raya kepada wanita terbabit iaitu tidak ditemani oleh pemandu berlesen/pegawai polis atau penguji kerana masih memegang lesen L, tidak mempamerkan plat L pada kereta, dan juga pemandu lesen L memandu melebihi 10 km/j berbanding had laju yang dibenarkan.

Bagi kes lesen palsu pula, wanita berkenaan telah disabitkan di Mahkamah Tempatan Griffith pada 13 April 2022 atas kesalahan memiliki dokumen palsu untuk mempengaruhi amalan tanggungjawab awam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required