MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

Pada tahun 2020, MG ZS EV diberitahu akan datang ke negara kita dengan dijual dan dipasarkan oleh MG Berjaya. Kerjasama syarikat itu nampaknya tidak berjaya tetapi awal tahun ini tersebar lagi berita bahawa jenama itu sendiri akan mengeskport kenderaan ke negara ASEAN, dengan Malaysia bakal menerima pengedar baru.

Itu semua bagaimanapun masih belum berlaku, dan bagi sesiapa yang masih mencari SUV elektrik segmen B tersebut, ia sebenarnya sudah ada dalam negara, dibawa oleh pengimport persendirian, G-Mart Corporation. Unit yang mereka bawa ini adalah daripada varian Trophy dari United Kingdom (UK).

Model facelift ini boleh dikenali dengan mudah melalui ketiadaan gril hadapan, serta tempat mengecas yang dialihkan ke sebelah kanan kenderaan dan mempunyai penutup yang terbuka ke tepi. Bukaan udara di bahagian bawah bampar juga adalah lebih besar berbanding sebelum ini.

Lampu LED adalah baru, dan ia mempunyai DRL berbentuk anak panah, sementara di belakang pula ia mendapat bampar yang direka semula. Melengkapkan penampilannya adalah rim 17 inci berserta penutup aerodinamik (masih belum dipasang pada kereta).

Kedua-dua model yang dibawa ini adalah versi standard, yang bermakna ia dilengkapi dengan bateri 51.1 kWh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 319 km (kitaran WLTP) dan merupakan satu peningkatan berbanding 263 km yang ditawarkan melalui bateri lithium ion 44.5 kWh pada model sebelum ini. Di pasaran luar, Z5 EV juga mempunyai versi Long Range dengan bateri 72.6 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 440 km.

Motor elektrik pada model facelift kini menawarkan 177 PS (130 kW) kuasa pada model Standard – 150 PS lebih tinggi berbanding sebelum ini – sementara tork pula menurun sedikit menjadi 280 Nm (sebelum ini 350 Nm). Daripada aspek prestasi, kereta seberat 1,610 kg ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat dan mencecah kelajuan maksimum 174 km/j.

MG ZS EV facelift 2022 di Malaysia – varian Trophy SR dari UK, 177 PS/280 Nm, jarak gerak 320 km, RM235k

Untuk mengecas, ia akan mengambil masa lapan jam apabila menggunakan pengecas AC tujuh kilowatt, 54 minit untuk mencapai tahap 80% (dari kosong) menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan 36 minit apabila menggunakan pengecas pantas DC 100 kW.

Di dalam, model facelift ini mendapat panel instrumen digital tujuh inci baru, skrin sesentuh 10.1 inci di tengah untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, suis pengawal suhu rekaan baru, sistem masuk tanpa kunci bersama butang pemula, kamera parkir 360 darjah serta roda stereng balutan kulit.

Barangan tambahan yang diberikan pada versi Trophy ini pula terdiri daripada balutan tempat duduk ala kulit dengan jahitan benang warna kontras, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung panoramik, pengelap cermin automatik, sistem audio enam pembesar suara serta pengecas Qi tanpa wayar.

Untuk sistem keselamatan, ZS EV dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot, yang termasuk AEB dengan pengesan pejalan kaki dan basikal, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Traffic Jam Assist, Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Intelligent High Beam Assist.

Model MG ZS EV Trophy Standard ini dijual pada harga RM235,000 dan ia termasuk sekali dengan pengecas dinding, serta pengecas kompak Exicom EVAC 7.5 kW Type 2, tetapi pemilik harus menanggung sendiri kos untuk memasangnya.

Pada masa hadapan, syarikat itu akan membawa pula versi SE bagi ZS EV ini, dan ia dijual pada harga kurang RM20k, iaitu RM215,000. Kedua-dua model Trophy ini menggunakan warna Dynamic Red dan sekarang dipamerkan di Auction House syarikat itu di Shah Alam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required