Syarikat minyak dan gas nasional Petronas mengadakan satu kerjasama dengan TVS Motor Company untuk menjadi penaja utama pasukan lumba factory pertama India iaitu TVS Racing. Dalam perjanjian dibuat, Petronas akan membekalkan pelincir prestasi Petronas Sprinta kepada pasukan tersebut yang dikenali sebagai Petronas TVS Racing Team, dan berlumba dalam pelbagai kategori seperti supercross, atas litar serta rali.

Antara kejuaraan yang disertai pasukan ini adalah seperti Indian National Motorcycle Racing Championship (INMRC), Indian National Supercross Championship (INSC), dan Indian National Rally Championship (INRC). Sebagai tambahan, Petronas Lubricants International juga akan membuat satu pecahan jenama minyak baru bersama TVS dipanggil sebagai TVS TRU4 Race Pro dan akan dijual di negara itu bermula Mei 2022.

“Petronas terus ke hadapan dalam rangkaian nilai di India termasuk membekalkan LPG melalui IndianOil Petronas dan pembekalan panel solar atas bumbung melalui AmPlus Energy. Pelincir Petronas mempunyai pengalaman yang kuat dalam acara sukan permotoran global dan kami bangga dapat memberi sokongan kepada hasrat TVS Motor,” kata pengurus kanan komunikasi strategik kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.