Minggu lalu, kami telah mengeluarkan laporan bahawa pengecas pantas DC BMW yang dipasang di pusat pengedar BMW Malaysia kini sudah mula beroperasi dengan cara bayar-ikut-guna, yang mempunyai beberapa kadar berbeza mengikut lokasi.
BMW Malaysia juga telah memberitahu bahawa meskipun bukan semua pengedar sudah mula melaksanakan polisi ini, akhirnya nanti keseluruhan rangkaian akan mengenakan bayaran dengan kadar yang sama bagi semua wakil pengedar.
Kadar tersebut kini sudah diketahui melalui satu dokumen yang kami saksikan. Di atasnya tertulis bahawa harga yang dikenakan adalah mengikut kemampuan kuasa yang dikeluarkan (output) oleh pengecas DC tersebut.
Ada enam segmen harga yang ditetapkan, terdiri daripada output antara 30 kW ke 180 kW, dan kadarnya berbeza bagi pengguna kenderaan EV BMW dan jenama lain, memandangkan rangkaian pengecas DCFC ini boleh digunakan untuk semua.
Bagi pengguna EV bukan BMW, harganya adalah:
- Pengecas DC 30 kW – RM0.60 sen/min
- Pengecas DC 50 kW – RM1.00/min
- Pengecas DC 60 kW – RM1.40/min
- Pengecas DC 90 kW – RM1.80/min
- Pengecas DC 120 kW – RM2.40/min
- Pengecas DC 180 kW – RM3.60/min
Bagi pengguna EV BMW pula, harganya adalah:
- Pengecas DC 30 kW – RM0.40 sen/minit
- Pengecas DC 50 kW – RM0.80 sen/min
- Pengecas DC 60 kW – RM1.00/min
- Pengecas DC 90 kW – RM1.40/min
- Pengecas DC 120 kW – RM2.00/min
- Pengecas DC 180 kW – RM2.80/min
Melihat kepada kos, penggunaan pengecas 30 kW seperti unit di Seong Hoe Premium Motors, Melaka akan melibatkan bayaran RM36 sejam bagi pemilik EV bukan BMW, sementara bagi pemilik BMW, dalam tempoh sama, ia akan berjumlah RM24. Bayaran ini akan meningkat lagi apabila menggunakan pengecas yang menghasilkan kuasa lebih tinggi seperti 120 kW dan 180 kW, di mana ia akan berjumlah RM144 dan RM216 sejam bagi pemilik EV bukan BMW, sementara pemilik BMW akan membayar masing-masing RM120 dan RM168 bagi tempoh penggunaan yang sama.
Kadar mengikut jam ini tidak menunjukkan harga sebenar yang akan dibayar pengguna, kerana jika diikutkan, ia akan mengambil masa lebih lama jika anda menggunakan pengecas berkuasa lebih rendah. Sebagai contoh, bagi BMW iX yang memerlukan masa 60 minit untuk mengecas bateri dari 20-80% menggunakan pengecas 50 kW, ia akan melibatkan kos RM48 sementara apabila menggunakan pengecas 180 kW bagi mendapatkan kenaikan bateri yang sama, ia cuma memerlukan masa 20 minit dan bayaran RM56.
Kadar bagi pengecas 120 kW sudah pun dilaksanakan di Tian Siang Premium Auto Ipoh, di mana seorang pengguna kenderaan bukan BMW telah mendedahkan bahawa kadar RM2.40 seminit ditetapkan bagi pemilik EV bukan BMW. Beliau mengecas selama 45 minit untuk memenuhkan bateri dari 56%, dan dikenakan bayaran RM108.
Apapun, kadar yang ditetapkan oleh BMW ini sebenarnya adalah sedikit rendah berbanding rangkaian pengecas Shell Recharge HPC, yang menetapkan kadar bayar-ikut-guna RM20 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, RM20 bagi setiap lima minit seterusnya serta bayaran pengesahan RM4. Apabila dikira sekali, ia akan berjumlah RM240 sejam, ataupun RM244 apabila dimasukkan sekali dengan bayaran pengesahan.
Setakat ini masih belum diketahui bila harga ini akan diselaraskan pada semua pengedar, tetapi dalam dokumen yang kami lihat itu, ia turut tertulis bahawa kadar yang disyorkan bagi pelanggan BMW (kurang sekitar 20%) adalah tertakluk kepada keputusan pengedar dan pengedar disarankan untuk mengikut kadar ini bagi menjamin konsistensi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.