Insiden memandu melawan arus kini dilihat seperti fenomena biasa berlaku dalam negara. Terbaharu, satu lagi kejadian sama terjadi membabitkan sebuah Perodua Myvi di lebuhraya antara yang paling sibuk di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Persekutuan.

Kejadian berkenaan dirakam oleh dashcam salah sebuah kereta yang lalu di kawasan tersebut sewaktu kejadian dan video tersebut dimuat naik serta tular di media sosial. Ia berlaku pada hari Ahad (8 Mei 2022) pada pukul 1:52 pagi, berhampiran susur keluar ke Icon City. Kenderaan yang dipasang dashcam berkenaan terpaksa mengelak Perodua Myvi tersebut kerana berada di lorong tengah yang sama.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendent Ku Mashariman Ku Mahmood, tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata bahawa kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan beliau menyeru agar pemandu Perodua Myvi tersebut agar menyerah diri. Mashriman turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan agar tampil kehadapan bagi membantu siasatan polis.