CSH Alliance yang sebelum ini telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BYD Malaysia bagi mengedar dan memasarkan kenderaan-kenderaan elektrik komersil jenama China, BYD kini mengumumkan pula rancangan mereka untuk memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, lapor The Star.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka telah bercadang untuk mendapatkan tiga bidang tanah yang bersebelahan antara satu sama lain dengan keluasan keseluruhan 55.3186 ekar di Tanjung Malim, Perak dengan tunai sebanyak RM12 juta.

CSH Alliance juga menyatakan bahawa syarikat subsidiari penuhnya iaitu Alliance EV (AEV) kini sudahpun memeterai perjanjian jual beli dengan Medium Visa dan Harapan Iringan bagi cadangan pengambilalihan itu. Tanah-tanah tersebut akan digunakan untuk menyediakan kilang pemasangan bagi persediaan untuk memasang van elektrik penuh komersil BYD T3 secara CKD, dan model berkenaan disasarkan untuk dibekalkan kepada industri logistik dan pengangkutan.

“Pengambilalihan tanah tersebut adalah sebahagian daripada usaha strategik AEV dalam memenuhi keperluan MITI bagi menawarkan CBU, CKD dan kilang pemasangan tempatan dalam sektor pembuatan kereta. Kami sedang menyediakan keperluan ini lebih awal,” kata pengarah eksekutif Peter Yap dalam satu kenyataan.

Ia turut menambah bahawa pengambilan tanah itu akan membolehkan perniagaan EV syarikat berkenaan untuk bermula dan bertumbuh serta melengkapkan perniagaan perkhidmatan kewangan kumpulan itu. AEV akan ditugaskan untuk mengedar dan membekalkan BYD T3 serta aspek perkhidmatan selepas jualan bersama-sama dengan alat ganti dan pakej waranti.

AEV menjangkakan salah satu pelanggan untuk T3 adalah Line Clear Express and Logistics, iaitu sebuah syarikat logistik dan kurier di mana CSH Alliance memiliki 15% kepentingan ekuiti.

BYD T3 merupakan van EV kompak dengan panjang 4,460 mm, lebar 1,720 mm dan tinggi 1,875 mm, serta kapasiti kargo berjumlah 3,800 liter. Ia digerakkan dengan motor elektrik AC magnet kekal segerak menawarkan kuasa 134 hp (100 kW) dan tork maksima 180 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j.

Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion NCM BYD berkapasiti 50.3 kWj, memebolehkan van tersebut bergerak sejauh 300 km dengan satu cas penuh. Ia boleh dicas semula menggunakan sistem AC pada kadar 6.6 kW dengan mengambil masa 7.6 jam dari 0-100%. Manakala dengan sistem DC 40kW, cas penuh hanya akan mengambil masa selama 1.3 jam.