GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

Lexus Malaysia baru saja memperkenalkan model generasi kedua dan terbaru SUV NX untuk pasaran tempatan. Terdapat dua varian ditawarkan, iaitu NX 250 Luxury dengan enjin 2.5L dan NX 350 F Sport dengan enjin 2.4L turbocas. Merupakan unit import CBU, masing-masing dijual pada harga RM370,888 dan RM389,888.

Bagi Lexus NX 350 F Sport, ia dilengkapi enjin 2.4L turbo dengan janaan 275 hp dan 430 Nm dari 1,700 hingga 3,600 rpm. Unit T24A-FTS ini menggabungkan 8AT serta AWD sepenuh masa kawalan elektronik dan mencatatkan 0-100 km/j dalam masa 7 saat, dan laju maksimum yang sama 200 km/j.

Nisbah mampatan tinggi dan kecekapan thermal dalam enjin 2.4T, disertai dengan sudut injap dan silinder berkecekapan tinggi yang diperbesar menjadikan pembakaran lebih pantas, menyumbang janaan kuasa lebih tinggi dan prestasi mesra alam.

GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

Enjin turbo berkenaan juga menampilkan ciri suntikan minyak tertumpu Lexus yang pertama, yang mana petrol disuntik oleh penyuntik multi-lubang pada tekanan tinggi ke tengah kebuk pembakaran, menjadikan pembakaran optimum dan lengkap. Unit pengecas turbo kini berkecekapan tinggi dengan sistem penyejuk sendiri, yang menggunakan pam elektrik serta intercooler sejukan cecair.

Pakej F Sport turut melibatkan AVS dan penyerap hentak prestasi di depan dan belakang untuk karektor lebih sporty. Kedua-dua varian 250 dan 350 ini menggunakan rim 20-inci aloi dengan tayar 235/50, tetapi dengan penyudah yang berbeza — kelabu gelap bagi Luxury dan hitam berkilau untuk F Sport. Perbezaan lain F Sport adalah rekaan grilnya, bucu bampar depan yang 18 mm lebih rendah, bingkai gril hitam, perumah cermin sisi hitam, landasan bumbung hitam dan lencana F Sport di sisi.

Ruang dalaman mempamerkan perubahan yang lebih ketara berbanding model lama. Antaranya, kini tiada lagi Remote Touch Controller yang bermasalah digunakan. Kokpit menerapkan konsep Tazuna yang dipertontonkan pada model LF-30 Electrified yang dipamer ketika Tokyo Motor Show 2019 — sebuah konsep yang “menghubungkan pemandu dengan kereta agar lebih memberi tumpuan kepada pemanduan”. Ini melibatkan penggunaan skrin 14-inci yang enam-inci lebih besar berbanding yang lama.

GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

Di keliling skrin besar berkenaan terdapat beberapa tombol kawalan fizikal. Butang penghidup enjin dan pemilih mod pemanduan misalnya ditempatkan dalam kedudukan agar pemandu boleh mencapainya dengan mudah tanpa mengubah postur memandu mereka. Menurut Lexus, jumlah suis fizikal telah dikurangkan daripada 78 kepada 45, hanya untuk fungsi yang kerap digunakan.

Skrin baru itu juga membawa bersama sistem baru. Menu dipaparkan sebagai ikon lebih dekat dengan pemandu, dan tataletak skrin dibahagi kepada kawasan yang mengikut butiran maklumat berkaitan. Sambungan telefon melalui Android Auto dan Apple CarPlay; yang kedua adalah sambungan tanpa wayar, pertama untuk Lexus.

Untuk aspek keselamatan, NX lengkap dan meyakinkan. Ia hadir dengan Lexus Safety System+, yang termasuk ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan Stop & Go Function, Lane Keeping System (dengan Lane Tracing Assist dan Lane Departure Alert) serta Adaptive High-beam System (AHS). Kamera undurnya mempunyai pandangan panoramik dan ada tujuh beg udara termasuk untuk lutut pemandu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required