Volvo XC40 2022 di Malaysia – harga naik sehingga RM3.8k; varian PHEV dapat sistem Harman Kardon

Volvo XC40 2022 di Malaysia – harga naik sehingga RM3.8k; varian PHEV dapat sistem Harman Kardon

Volvo Malaysia telah mengumumkan harga bagi model XC40 untuk pasaran tempatan telah disemak semula. Ia melibatkan varian bukan-EV iaitu T5 R-Design dan Recharge T5 R-Design, di mana harganya sedikit tinggi berbanding sebelum ini.

Bermula dengan T5 R-Design, harga sebelum ini ialah RM231,651 bersama insurans dan termasuk dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Ia adalah harga yang disemak semula selepas memperkenalkan Recharge T5 R-Design pada Februari lalu.

Untuk harga terkini yang diumumkan, varian bukan plug-in hybrid tersebut berharga RM233,710.82, iaitu RM2,059.82 lebih tinggi berbanding senarai harga pada Februari 2021. Sementara itu, Recharge T5 R-Design kini berharga RM245,818.90 atau lebih RM3,821.86 berbanding harga sebelum ini pada RM241,997.04.

Perubahan harga ini turut didatangkan dengan beberapa semakan semula pada kelengkapan standard. Di mana kini kedua-dua varian tidak lagi didatangkan dengan fungsi private locking untuk glove box dan tailgate, tailgate berkuasa dengan operasi bebas-tangan dan soket kuasa 12-voltan pada bahagian but. Ditambah pula dengan perehat tangan tempat duduk belakang bagi kedua-dua varian.

Selain itu, Recharge T5 R-Design masih didatangkan dengan roda aloi 19-inci, tetapi kini dengan rekaan potongan berlian hitam lima-jejari berbanding potongan berlian lima-jejari berkembar – tetapi masih berkongsi roda yang sama seperti sebelum ini. Ciri tambahan yang diberikan untuk varian PHEV pula termasuklah sistem bunyi Harman Kardon 600-watt dengan 14-pembesar suara, berbanding sistem audio prestasi tinggi 250-watt dengan lapan-pembesar suara.

Warna luaran yang ditawarkan untuk XC40 kini merangkumi Crystal White Pearl, Black Stone, Glacier Silver Metallic, Denim Blue Metallic dan Thunder Grey Metallic, dengan dua warna yang terakhir disebut itu adalah bagi menggantikan Bursting Blue Metallic dan Coral Red Metallic yang ditawarkan sebelum ini.

Klik untuk besarkan

Selain daripada perubahan yang dinyatakan ini, spesifikasi lain masih dikekalkan seperti sebelum ini. Di mana Recharge T5 masih kekal dijanakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol dengan hambura kuasa 180 PS (178 hp) dan tork 265 Nm.

Ia dipadankan dengan motor elektrik dengan kadar kuasa 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, yang digabungkan bersama enjin dan transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan, menghasilkan keseluruhan sistem kuasa mencecah 262 PS (258 hp) dan 425 Nm. Motor elektrik dikuasakan oleh bateri lithium-ion 10.7-kWh yang boleh memberikannya jarak sehingga 44 km bagi pemanduan elektrik sepenuhnya.

Bagi T5 R-Design pula, ia masih diberikan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 252 PS (249 hp) dan 350 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda. Waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had masih diberikan secara standard, dan varian PHEV turut diberikan waranti bateri sehingga lapan-tahun/160,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required