VIDEO: Wanita memandu sambil pangku bayi, biarkan seorang lagi anaknya keluarkan badan dari tingkap

VIDEO: Wanita memandu sambil pangku bayi, biarkan seorang lagi anaknya keluarkan badan dari tingkap

Beristighfar panjang penulis bila menonton video yang dikongsikan oleh pemilik TikTok milik Mamalinwaklanwood dan juga ehailing.fm di Facebook subuh tadi. Menerusi video yang dirakamkan itu, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki selamba mengeluarkan separuh badannya keluar dari tingkap dalam keadaan kereta yang sedang bergerak di Lebuhraya Utara-Selatan.

Aksi kanak-kanak terbabit yang leka ‘mengambil angin’ telah menarik perhatian si perakam video ini yang turut meluahkan rasa ‘seramnya’ melihat aksi berkenaan. Lebih memeranjatkan, sewaktu kenderaan si perakam berselisih dengan kenderaan berkenaan, kelihatan pemandunya merupakan seorang wanita yang turut memangku seorang lagi anak kecil.

Mengikut komen yang dipaparkan menerusi TikTok berkenaan, pemiliknya berkata, Perodua Aruz yang dipandu oleh wanita terbabit kelihatan tidak dipandu dengan stabil, malah ada pemandu kenderaan lain telah memberikan isyarat lampu tinggi mungkin selepas menyedari aksi terbabit.

VIDEO: Wanita memandu sambil pangku bayi, biarkan seorang lagi anaknya keluarkan badan dari tingkap

Walau pun kelihatan kenderaan yang dipandu tidak bergerak laju, namun ia masih tetap berisiko. Bayangkan sekiranya tiba-tiba ada halangan lain dan kenderaan terpaksa dibrek mengejut, kebarangkalian ia boleh mendatangkan kecederaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak terbabit. Memang tiada siapa yang mahukan perkara buruk berlaku, tetapi harus beringat, “malang tidak berbau”.

Bukan satu atau dua kes ibu bapa yang dipanggil ke balai polis untuk bagi keterangan atau didakwa di mahkamah atas kesalahan mengabaikan keselamatan anak-anak. Baru-baru ini, seorang bapa dihadapkan di mahkamah selepas video tular yang memaparkan tiga orang kanak-kanak yang menaiki Mercedes-Benz E-Class W211 mengeluarkan separuh badan mereka menerusi tingkap kereta yang sedang bergerak.

Bapa kepada kanak-kanak berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan yang dilakukan dan pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Untuk video terbaharu yang tular ini pula, tindakan wanita terbabit membiarkan anaknya mengeluarkan separuh badan dari tingkap sewaktu kenderaan sedang bergerak dan dalam masa yang sama turut memangku seorang lagi anak kecilnya ketika memandu, adalah tindakan yang menyalahi undang-undang.

Walau bagaimana pun, terpulang pada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi kes sebegini. Apa pun, kami ingin merayu kepada anda semua, janganlah sesekali melakukan perkara berisiko sebegini, tolong jangan abaikan keselamatan anak-anak anda. Sewajarnya letakkan anak-anak kecil di kerusi keselamatan kanak-kanak. Memang ia masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya, namun kita perlu praktikkan perkara ini terlebih dahulu demi keselamatan mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required