Perodua Alza 2022 – tempahan di buka, RM62k-RM75k, 1.5L D-CVT, 22 km/l, EPB, kamera 360-darjah, ASA

Perodua Alza 2022 – tempahan di buka, RM62k-RM75k, 1.5L D-CVT, 22 km/l, EPB, kamera 360-darjah, ASA

Seperti yang kami sebut sebelum ini, hari ini secara rasmi tempahan untuk Perodua Alza 2022 telah pun dibuka. Selain dari harga tentatif yang telah pun terdedah sebelum ini, Perodua turut mengumumkan pelbagai perincian sebenar untuk MPV generasi baharu tersebut.

Perodua Alza D27A ini menerima enjin enjin 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT automatik, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022. Perodua masih belum mengumumkan sebarang angka kuasa, tetapi gandingan tersebut didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 22.0 km/l, serta menerima pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Bacaan bahan api tersebut adalah berdasarkan kitaran ujian MDC (Malaysian Driving Cycle), iaitu protokol ujian penggunaan bahan api tempatan yang dibangunkan berdasarkan keadaan dan situasi pemanduan di Malaysia. Sistem auto start-stop Eco Idle juga dibekalkan secara standard untuk semua varian.

Antara perincian lain yang dinyatakan dalam brosur yang disiarkan termasuk sistem brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi auto brake hold dan monitor pandangan panaromik 360-darjah (kedua-duanya pertama kali diperkenalkan untuk model Perodua), gril hadapan kemasan krom/hitam berkilat serta kabin tujuh-tempat duduk yang luas.

Perodua Alza 2022 – tempahan di buka, RM62k-RM75k, 1.5L D-CVT, 22 km/l, EPB, kamera 360-darjah, ASA

Seperti yang sudah disahkan sebelum ini, Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian berbeza iaitu X, H dan AV. Varian asas X datang standard dengan lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, cermin sisi larasan elektrik bersama lampu isyarat membelok LED (lipatan manual), tempat duduk fabrik dan juga brek belakang dram.

Berita baik, Alza generasi baharu ini bukan sahaja mempunyai corong penghembus pendingin hawa khas untuk kabin belakang, malah turut diberikan kawalan berasingan – digital untuk hadapan, dan manual untuk bahagian belakang.

Pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan terkini Advanced Safety Assist (ASA) juga diberikan untuk varian asas X ini, memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik (AEB), amaran keluar lorong (LDW) dan pengelak keluar lorong (LDP), serta lampu hadapan automatik. Malah varian paling asas ini juga menerima enam beg udara termasuk beg udara tirai.

Untuk model pertengahan H pula, ia diberikan tiga mod pemanduan (Eco, Normal dan Power), lampu hadapan Adaptive Driving Beam LED bersama lampu isyarat membelok jenis sequential, cermin sisi auto-lipat, perehat tangan belakang, panel instrumen dengan paparan pelbagai info TFT 7.0-inci, serta unit pemain audio dengan skrin sesentuh 9.0-inci bersama kamera undur dan penderia parkir hadapan.

Perodua Alza 2022 – tempahan di buka, RM62k-RM75k, 1.5L D-CVT, 22 km/l, EPB, kamera 360-darjah, ASA

Manakala bagi varian tertinggi AV pula hadir dengan tempat duduk balutan separa kulit dua-tona serta kamera parkir 360-darjah. Sistem ASA untuk varian AV ini juga menerima penambahan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Varian tertinggi ini juga merupakan satu-satunya varian yang menerima sistem brek parkir EPB dengan auto brake hold, yang menyaksikan ia menerima brek cakera untuk bahagian belakang.

Untuk konfigurasi tempat duduk, baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 50:50, manakala baris kedua pula boleh dilipat dengan nisbah 60:40 menggunakan butang satu-sentuhan dan mekanisma untuk menggelangsar. Kapasiti but belakang pula adalah 137 liter – jauh lebih besar dari Alza generasi sebelumnya yang hanya menyediakan ruang dengan kapasiti 83 liter. Dengan tempat duduk baris ketiga direbahkan, anda akan menerima ruang kapasiti sebesar 498 liter.

MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

Untuk harga pula, varian asas Alza X akan dijual pada harga bermula RM62,000, diikuti varian pertengahan Alza X akan dijual pada harga RM68,000. Manakala varian tertinggi pula dijual pada harga RM75,000. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia, namun ia masih diperingkat tentatif/anggaran. Harga sebenar bagi Perodua Alza 2022 ini hanya akan diumumkan pada pelancarannya bulan hadapan.

Seperti yang dijangka, dengan teknologi dan perincian yang jauh lebih canggih, Alza generasi baharu ini dijual pada harga lebih tinggi berbanding model generasi sebelumnya yang menampilkan harga bermula RM52,661 sehingga RM60,525 untuk versi automatik dan tidak sampai RM50k untuk model dengan transmisi manual.

Bagi mereka yang menempah Alza 2022 ini sebelum 1 Julai 2022, anda masih layak menerima pengecualian cukai SST selagi kereta tersebut diserahkan dan didaftarkan sebelum 31 Mac 2023, seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Kami difahamkan juga bahawa pelanggan yang terawal menempah model ini akan menerima kereta mereka seawal hari pertama pelancarannya nanti, dan tempoh menunggu untuk model baharu ini adalah “satu hingga dua bulan, bergantung kepada varian dan warna yang ditempah.”

“Kami mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami, dan Perodua Alza Baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambahbaik Ground Clearance Perodua Alza Baharu kepada 160mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV.

“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” tambahnya lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Alza baru dah keluar, tp org yg book myvi baru dah lebih 3 bulan xder bayang lagi, ape cer perodua, setel lah satu2 dulu, baru open yg baru

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Wan Sobrina Binti Haji Yahaya on Jul 16, 2022 at 5:15 pm

    Alza 2022

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required