Pastinya ada di antara kita yang memiliki peristiwa menggamit kenangan merentasi perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur (atau sebaliknya) dengan menaiki Ekspres Wau kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum ini.
Walau bagaimana pun, sayangnya, perkhidmatan tren terbabit terpaksa ditamatkan. Menurut Pengerusi Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor, KTMB tidak dapat meneruskan perkhidmatan Ekspres Wau kerana berdepan dengan kos operasi yang tinggi.
Malahan perkhidmatan itu juga turut menyebabkan KTMB terpaksa berdepan dengan kerugian sebanyak RM6 juta setiap tahun, laporan Bernama.
“Untuk makluman KTMB tidak dapat meneruskan perkhidmatan Ekspres Wau disebabkan terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dan berdepan dengan kerugian.
“Selain itu, laluan juga tidak begitu sesuai ketika ini disebabkan KTMB ada menyediakan pilihan tren-tren lain yang boleh menghubungkan ke pantai timur melalui Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Gemas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Amran Arifin (BN-Paloh) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kelantan, pagi tadi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.