GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace Life 2022 di M’sia – varian asas baharu; 1.4 TSI, harga dari RM174k

GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace Life 2022 di M’sia – varian asas baharu; 1.4 TSI, harga dari RM174k

Baru-baru ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan varian 1.4 TSI Life bagi barisan Volkswagen Tiguan Allspace facelift. Ia menyertai varian sedia ada iaitu 1.4 TSI Elegance serta 2.0 TSI R-Line 4Motion. Kali ini, kami membawakan galeri penuh untuk varian asas baharu ini, yang ditawarkan pada harga atas jalan RM173,590 tanpa insurans.

Harga Life adalah lebih murah sebanyak RM16,000 berbanding Elegance (RM189,590) dan kurang RM63,483.60 jika dibandingkan dengan model spesifikasi penuh R-Line (RM237,073.60). Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, harga bagi Elegance dan R-Line mengalami peningkatan masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM11,000 sejak kami melaporkan harga termasuk SST untuk model Volkswagen di Malaysia pada bulan Julai lalu.

Seperti Elegance, Life turut dikuasakan oleh enjin 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder yang boleh menghasilkan 150 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac DSG basah enam-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

Life juga berkongsi rekaan luaran yang sama dengan varian Allspace yang lain, dengan elemen penggayaan termasuk gril hadapan yang lebih bergaya dengan jaluran lampu signatur Volkswagen di antara lampu utama LED penuh dan kemasan spesifikasi ‘Allspace’. Ciri lain termasuk lampu belakang LED, perumah cermin sisi warna perak dan juga roda aloi tona perak Frankfurt 18-inci dengan dibaluti tayar 235/55 seperti yang turut ditampilkan pada varian Elegance.

Di dalamnya, Life menampilkan roda stereng sport pelbagai-fungsi balutan kulit dan kawalan suhu automatik Climatronic tiga-zon, dan seperti dua varian lain, ia juga diberikan sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dengan navigasi dan ketersambungan tanpa wayar.

Ia juga ditampilkan dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk dengan tiga barisan (bentangan 2-3-2), dengan ruang but berkapasiti 1,775 liter, di mana barisan kedua- dan ketiga- boleh dibaringkan sepenuhnya.

Senarai kit dalaman bagi Life masih lebih kurang sama dengan varian Tiguan yang lain, termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, kawalan suhu tiga-zon Climatronic (dengan corong di belakang), kluster instrumen Digital Cockpit 11.7-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh Discover Pro 9.2-inci, fungsi navigasi, sokongan tanpa wayar bagi Android Auto dan Apple CarPlay yang diberikan secara standard.

Bagi aspek keselamatan, Allspace Life dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, bantuan menurun bukit dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan barisan kedua, serta bantuan kekal lorong dan kepekaan pemandu, tetapi tidak diberikan brek kecemasan sendiri.

Lima warna pilihan bagi luaran diberikan termasuk Atlantic Blue, Platinum Grey dan Pyrite Silver metallics dan Deep Black dengan Oryx White. Setiap pembelian SUV ini didatangkan dengan waranti lima-tahun dan penyelenggaran percuma tiga-tahun, dan bantuan tepi jalan lima-tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required