Semalam Proton telahpun memuktamadkan perjanjian dengan smart Automobile Company, menyaksikan Proton akan menjadi pengedar untuk kereta elektrik kompak smart bermula pada tahun hadapan, bukan sahaja di Malaysia malah untuk pasaran Thailand. Jadi sebagai pengedar kenderaan elektrik (EV), Proton bukan sahaja bertanggungjawab terhadap jualan dan servis selepas jualan, malah jaringan fasiliti pengecas juga perlu dipandang serius.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Proton menyatakan bahawa ia akan membuat pelaburan dalam rangkaian pengecasan EV dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, disamping menyedia dan memasang unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat mengecas kenderaan mereka di rumah.

“Kami telah berhubung dengan tujuh atau lapan promoter infrastruktur EV, kerana sudah ada ekosistem terperinci di dalam infrastruktur,” kata pengarah kanan strategi Proton, Yusri Yusuf ketika majlis perjanjian tersebut semalam. Proton akan melihat kepada dua aspek iaitu pengecas di rumah dan pengecas awam. Untuk pengecas awam, Proton akan bekerjasam dengan agensi kerajaan bagi memastikan status terkini rancangan berkenaan.

Untuk isu “kegusaran jarak” (range anxiety) dikalangan pengguna EV pula, satu pasukan dalaman Proton telah diwujudkan bagi mengkaji kemungkinan menempatkan stesen pengecas mudah alih untuk memenuhi keperluan pengguna sementara rangkaian pengecasan negara terus berkembang, jelas naib CEO Proton Roslan Abdullah.

Roslan turut menyatakan bahawa perjanjian ini membolehkan Proton masuk ke segmen EV, dalam masa yang sama membolehkan ia menarik minat bakat-bakat muda untuk mengisi jawatan-jawatan baharu dalam tempoh peralihan teknologi ini.

Menerusi perjanjian berkenaan, smart #1 akan menjadi model pertama yang akan dijual oleh Proton di Malaysia, dan ia akan dilancarkan secara rasmi pada suku keempat 2023 dan diikuti pasaran Thailand pada pertengahan 2024.

smart #1 membuat kemunculan sulung globalnya di Berlin, Jerman pada awal April lalu, dan kemudian dilancarkan pada pasaran China pada hujung bulan yang sama. Buat masa sekarang ia ditawarkan dalam versi motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS dan tork maksima 343 Nm bagi memacu gandar belakang, disuap dengan bateri berkapasiti 66 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP.