Lagi berita yang menyayat hati: empat orang terkorban selepas sebuah trak muatan kontena merempuh sebuah Proton Exora rosak yang sedang dipersiapkan untuk ditunda di KM 135.7 Lebuhraya Pantai Timur arah Kuantan.

Kejadian yang berlaku pada Sabtu itu menyaksikan Exora berkenaan terhumban ke dalam gaung dengan kedalaman 13 meter tepi laluan berkenaan akibat rempuhan berkenaan. Sebuah Proton Waja, yang berhenti di tempat kejadian, turut mengalami kerosakan akibat perlanggaran itu. Dua warga emas dan seorang remaja lelaki dalam MPV berkenaan, serta seorang petugas LPT yang mengendalikan trak tunda mati di tempat kejadian, lapor Berita Harian.

Pegawai media Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Zulfadli Zakaria berkata, lapan orang lagi di dalam Exora ketika itu mengalami cedera parah dalam kemalangan berkenaan. Selain itu, seorang lagi individu dari lori tunda serta empat individu lain dalam Waja berkenaan turut cedera. Sementara itu, pemandu lori kontena itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tidak diketahui apa yang menyebabkan pemandu lori kontena terbabit merempuh tiga kenderaan lain itu. Awal bulan ini, 11 kenderaan rosak apabila dilanggar oleh lori trailer yang merempuh lalu lintas di perismpangan lampu isyarat di Shah Alam.

Dalam kes terbaru ini, adakah ia disebabkan oleh kesilapan pemandu, atau kerosakan pada kenderaan terbabit? Apa pun puncanya, empat nyawa telah terkorban dan ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Berapa banyak lagi kehilangan nyawa yang perlu kita hadapi sebelum situasi seperti ini tidak berulang?

Peraturan yang mengawal selia kenderaan komersial, melibatkan pemeriksaan wajib, penyelenggaraan dan penguatkuasaan semuanya ada, tetapi mengapa kejadian seperti ini masih berlaku? Apa yang anda rasa perlu dilakukan oleh kita semua untuk menghindari kejadian seperti ini?