Guangzhou Automobile Group (GAC) telah menunjukkan model M8 generasi kedua, sebuah MPV saiz besar yang dijual di bawah sub-jenama Trumpchi miliknya. Model baru ini bersaing dalam segmen MPV premium dan ditawarkan dengan sistem janaan petrol, hibrid dan juga plug-in hibrid.

Enjin 2.0 liter turbo empat-silinder petrol pada MPV ini menjana sebanyak 255 PS (252 hp) dan 400 Nm tork, digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan ke roda hadapan.

Bagi versi hibrid pula, ia menggunakan unit enjin sama tetapi dengan kitaran Atkinson, menghasilkan 193 PS (190 hp) dan 320 Nm. Sistem hibrid ini diperoleh daripada Toyota dan termasuk e-CVT dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm. Bagi sistem plug-in hibrid pula, GAC belum mendedahkan sebarang perincian.

Dengan ukuran 5,212 mm panjang, 1,893 mm lebar, 1,823 mm tinggi dan jarak antara roda 3,070 mm (bertambah 70 mm), M8 hadir dengan penampilan yang “lantang” dengan rekaan yang pastinya akan menarik perhatian sesiapa sahaja. Lihat sahaja rekaan gril depannya, anda akan faham apa yang dimaksudkan. Terdapat 10 palang krom menegak, gril ini mendominasi wajah depan MPV berkenaan.

Ada laporan memaklumkan rupa depan ini adalah bagi varian Master bagi M8, yang turut mengguna pakai nama “Master” berkenaan pada bahagian apron depan dan belakang, dan merupakan pilihan paling lengkap yang ditawarkan.

Ciri khas lain MPV ini termasuklah rekaan lampu depan LED yang tirus. Rekaan “taring” bagi lampunya turut dihadirkan di bahagian lampu belakang. M8 juga datang dengan rekaan bumbung terapung, dengan perincian krom.

Ruang paling menarik MPV ini pula tentulah di dalam kabinnya, dengan sentuhan kemewahan yang boleh dibanggakan. Ia hadir dengan konfigurasi kerusi 2-2-3 serta dua kerusi kapten di barisan kedua, dan tidak lupa pembesar suara Yamaha yang bersepadu dalam perehat kepala.

Untuk pemandu, kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 14.6-inci Adigo 4.0 tersedia di bahagian papan pemuka dengan rekaan ringkas. Konsol tengah juga ringkas, dengan menempatkan pemilih gear, butang penghidup enjin, pemilih mod pemanduan dan brek parkir elektronik.