Toyota Innova 2022 dapat Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, DVR dikemaskini, port USB-C

Toyota Innova 2022 dapat Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, DVR dikemaskini, port USB-C

Selain mengumumkan prestasi jualan untuk bulan Ogos, UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengemaskini beberapa modelnya untuk pasaran tempatan. Ini termasuklah MPV Innova yang masih ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 2.0E, pertengahan 2.0G dan tertinggi 2.0X.

2.0G ditawarkan pada harga RM131,888 atas jalan tanpa insurans, sementara 2.0X pula berharga RM141,880. Ini termasuk dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had. Untuk model asas, 2.0E, ia berharga RM123,880.

Secara mekanikalnya, kesemua model Innova pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional enam kelajuan bagi memacu roda belakang. Kotak gear tersebut turut diberikan mod manual pada tuil penukar gear, serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power.

Melihat risalah spesifikasi terkini, varian 2.0G dan 2.0X menerima unit utama skrin sesentuh Display Audio sembilan-inci baharu yang kini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Malah UMWT turut memaklumkan varian ini turut menerima port pengecasan pantas USB-C dan antaramuka paparan pandangan panoramik (PVM) yang disemak semula.

Khas untuk 2.0X pula ialah perakam video digital (dashcam) hadapan baharu yang boleh disambungkan secara tanpa wayar ke telefon pintar untuk memudahkan pemindahan rakaman video. Selain daripada perubahan ini, ciri semua varian Innova ini masih kekal seperti sebelum ini.

2.0E didatangkan secara standard dengan roda aloi 16-inci (dengan tayar 205/65), lampu utama halogen automatik, lampu nyalaan siang jenis mentol, lampu kabus belakang, gril hadapan perak dan hitam, cermin sisi larasan kuasa, lampu belakang kluster instrumen, unit utama standard, enam pembesar suara, pengecas tanpa wayar (diperkenalkan pada November lalu), pendingin hawa manual (dengan kawalan dan corong di belakang), roda stereng pelbagai-fungsi dan tombol gear urethane, upholstery fabrik hitam, tempat duduk hadapan manual, ABS, VSC, penderia parkir hadapan dan belakang dan tujuh beg udara.

Risalah spesifikasi Toyota Innova 2022 dan senarai harga; klik untuk besarkan

Ciri tambahan diberikan untuk varian 2.0G dengan lampu kabus hadapan, gril krom dengan tona kelabu, cermin sisi krom yang boleh dilaras, pemegang pintu krom, panel meter Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.2-inci, sistem Display Audio, pendingin hawa automatik, pencahayaan ambien, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, tailgate yang mudah ditutup, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan PVM.

Untuk varian tertinggi, pastinya diberikan lebih banyak ciri tambahan termsuk roda aloi 17-inci (dengan tayar 215/55), pakej penggayaan dalaman, lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, gril krom gelap dengan rona hitam, kombinasi kulit upholstery, tempat duduk pemandu larasan kuasa, tempat duduk kapten untuk barisan kedua (dengan bangku yang boleh dilipat 60:40) dan DVR hadapan.

Ciri seperti DVR, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang dan PVM turut ditawarkan secara pilihan untuk 2.0E bersama kos tambahan, tetapi belum dinyatakan lagi. Manakala varian 2.0G dan 2.0X kini ditawarkan dengan perakam video digital (dashcam) hadapan dan belakang yang menjadi sebahagian daripada pakej Tech-Up bernilai RM1,100, dengan aksesori lain termasuk lapisan filem solar dan keselamatan premium bernilai RM2,120.

GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 (pra-peningkatan)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required