Peringatan telah dikeluarkan sebelum ini, malah pelbagai kejadian dari Jalan Temiang-Pantai boleh dijadikan iktibar, namun ia tidak langsung dijadikan pengajaran untuk orang ramai yang bertindak untuk berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru di buka Jumaat lalu untuk melihat pemandangan.

Ini kejadian yang baru terjadi semalam – seorang penunggang motosikal cedera selepas merempuh sebuah Myvi dari arah belakang di lorong kecemasan lebuhraya tersebut. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Ampang Jaya hari ini, pemandu Myvi tersebut berhenti di lorong kecemasan semata-mata mahu melihat pemandangan di kawasan berkenaan.

Kenyataan yang dikeluarkan itu turut menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku 1 km dari Plaza Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur pada pukul 2.45 petang semalam, manakala penunggang motosikal terbabit telah mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

“Kes disiasat di bawah kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan. Individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300,” kata ACP Mohamad Farouk Bin Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

default

Ketika melancarkan Lebuhraya SUKE malam Khamis minggu lalu, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof sempat berpesan kepada orang ramai agar jangan berhenti di lorong kecemasan di lebuhraya berkenaan untuk mengambil gambar. Ini kerana SUKE yang menampilkan rekaan bertingkat (elevated atau seakan terapung) menyajikan pemandangan yang begitu cantik menghadap Bandaraya Kuala Lumpur, yang mungkin menarik minat orang ramai untuk bergambar di kawasan berkenaan.

Walau bagaimanapun pihak pemaju lebuhraya SUKE iaitu Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd atau PROLintas) sudahpun menyedari potensi yang ada pada jajaran lebuhraya ini, dan ia bakal membangunkan sebuah fasiliti Rehat dan Rawat (R&R) di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan.

Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah ketika majlis taklimat kepada media Rabu lalu, kawasan Rehat dan Rawat berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL City Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan itu. Antara pemandangan yang boleh dilihat di kawasan tersebut termasuk empat bangunan ikonik di bandaraya berkenaan iaitu Menara KL, Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka 118 serta Menara Exchange 106 (TRX).