Ford Mustang generasi ketujuh baru sahaja diperkenalkan minggu lalu, dan walaupun jualannya hanya akan bermula tahun hadapan, Ford kini telah memperkenalkan Mustang S650 ini dalam versi yang lebih berkuasa dari model V8 Coyote biasa, digelar sebagai Mustang Dark Horse.

Tiada pilihan enjin empat silinder 2.3 liter EcoBoost untuk Dark Horse ini, dan ia hanya ditawarkan dengan enjin 5.0 liter V8 yang lebih berkuasa dari versi Coyote standard, serta diberikan kelengkapan aerodinamik, roda dan stereng yang lebih berprestasi tinggi.

Enjin V8 Dark Horse ini menerima rod penghubung untuk omboh yang diambil terus dari Shelby Mustang GT500. Namun ia tidak dibekalkan dengan Supercharger seperti Shelby GT500, masih lagi NA, tetapi dibayangkan menghasilkan sekitar 500 hp. Buat masa sekarang Ford masih belum mengumumkan angka kuasa sebenar untuk model V8 Coyote biasa sekalipun.

Mustang Dark Horse ini juga dibekalkan standard dengan kotak gear manual TREMEC enam-kelajuan. Namun berbanding Mustang S560 biasa, model Dark Horse ini turut diberikan penyejuk untuk minyak transmisi. Pelanggan turut ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik 10-kelajuan untuk Mustang Dark Horse ini.

With sinister looks and a specially modified 5.0-liter V8 – the most powerful 5.0-liter V8 ever, projecting 500 horsepower – Dark Horse expands the Mustang lineup and sets a new benchmark for American street and track performance that could only come in a Mustang. Pre-production vehicles shown.

Model lebih berprestasi ini juga menerima talaan casis melibatkan penggunaan bar anti oleng belakang yang lebih besar, penyerap hentak hadapan tugas berat, dan juga pendakap atas topang serta pendakap-K rekaan Ford Performance. Manakala untuk brek, Dark Horse diberikan angkup Brembo 19-inci di hadapan bersama cakera berdiameter 13.9-inci.

Model Dark Horse ini juga tampil lebih garang dari Mustang biasa. Ia menerima lampu hadapan yang digelapkan, bampar hadapan dengan apron dan spoiler lebih agresif, spoiler belakang dengan “Gurney Flap” dan tip ekzos yang juga digelapkan.

Lencana Dark Horse boleh dilihat pada fender hadapan, penutup but belakang dan juga pada bendul pintu, bersama logo-logo kuda Mustang yang digelapkan. Ford juga menawarkan warna badan istimewa untuk Mustang Dark Horse ini iaitu Blue Embed Metallic.

Ford turut menawarkan dua varian Mustang Dark Horse ini yang tidak sah digunakan di jalan raya, iaitu Mustang Dark Horse R, serta satu lagi versi yang ‘kurang hardcore‘ dengan nama Dark Horse S. Bagi model Dark Horse S yang “kurang hardcore“, ia masih lagi sebuah model yang dihasilkan untuk mereka yang mahukan kereta track day hujung minggu.

Jadi model ini menerima rollcage yang diluluskan oleh FIA bersama kelengkapan perlumbaan lain seperti jaring keselamatan, tempat duduk bersama tali pinggang perlumbaan, roda stereng dengan bosskit jenis quick release yang boleh dicabut dengan mudah, serta perapi-perapi dan komponen dalaman yang tidak diperlukan dicabut.

Ia juga menerima sistem untuk memutuskan bekalan elektrik serta sistem pencegahan kebakaran sekiranya berlaku kemalangan. Tempat duduk belakang bagi Mustang Dark Horse S ini juga adalah pilihan opsyen dan bukan standard. Manakala suspensi pula ditingkat taraf dengan penyerap hentak Multimatic DSSV dengan ketinggian dan sudut camber yang boleh dilaras semula.

Panel kawalan untuk pemandu pada Dark Horse S ini juga seperti sebuah kereta lumba sebenar di mana suis dan tombol untuk lampu hadapan, lampu isyarat membelok, pengelap cermin, pelaras cermin sisi dan lampu hujan semuanya disatukan pada panel pusat di tengah. Ia juga diberikan sistem pengehad kelajuan untuk lorong pit serta sistem paparan data dan perolehan.

Bagi model Dark Horse R pula, ia menerima semua kelengkapan dari Dark Horse S, tetapi ia diberikan kimpalan strategik bagi menghasilkan kerangka lebih tegar, sel bahan api bagi memberikan jarak gerak lebih jauh serta set rim dari Ford Performance.