Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd iaitu anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas), yang juga pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengumumkan bahawa hampir 100,000 kenderaan telah direkodkan menggunakan lebuhraya berkenaan sejak ia dibuka kepada pengguna bermula 12 tengah hari, 16 September 2022 sehingga 12 tengah hari, 17 September 2022.

Dengan jumlah pengguna yang melangkaui sasaran purata trafik harian (ADT) Lebuhraya SUKE untuk fasa pertama iaitu 80,000 kenderaan sehari, PROLintas mengambil maklum bahawa terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi dalam Lebuhraya SUKE.

“Kebanyakan pengguna terawal Lebuhraya SUKE terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini. Terima kasih buat pengguna Lebuhraya SUKE atas sokongan dan maklum balas yang diberikan kepada kami,”kata CEO Kumpulan PROLintas, Dato’ Mohammad Azlan.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu adalah amat berbahaya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain. Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLintas. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” tambahnya lagi

Menurut PROLintas, beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya. Kon-kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

Syarikat itu turut menyatakan bahawa Unit Polis Bantuan PROLintas atau “peronda SUKE” yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu. Papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat. Mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.

“Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

“Di setiap 1 kilometer Lebuhraya SUKE dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan 40 unit dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala. Bahagian operasi sentiasa memerhati pergerakan trafik dan menghubungi peronda SUKE untuk ke lokasi jika terdapat sebarang kecemasan atau gangguan,” kata PROLintas dalam kenyataan yang dikeluarkan.

PROLintas juga menyatakan bahawa sebanyak 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesan kenderaan dan kemalangan (VIDS) pada tiang bersepadu telah disediakan, dan seluruh jajaran Lebuhraya SUKE juga diterangi dengan 3,377 lampu LED untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin terutama pada waktu malam.

Sekali lagi PROLintas menyatakan bahawa sebuah Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati permandangan panorama Kuala Lumpur itu dengan selesa dan selamat pada masa akan datang. Jadi buat masa sekarang jangan risikokan keselamatan anda dan pengguna lain dengan berhenti di lorong kecemasan semata-mata untuk menikmati pemandangan di lebuhraya berkenaan.

Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi untuk peringkat awal, jajaran Fasa 1 dibuka terlebih dahulu bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang sehinggalah ke Persimpangan Bukit Antarabangsa melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer – di mana pengguna lebuh raya mula beratur di setiap persimpangan masuk jajaran ini seawal 11.30 pagi Jumaat lalu.

Dan ketika baru dua hari pembukaannya, satu kemalangan telah dilaporkan berlaku kira-kira 1 km dari Plaza Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad lalu, di mana sebuah motosikal merempuh sebuah Perodua Myvi yang berhenti di lorong kecemasan kerana pemandunnya mahu menikmati pemandangan panorama Kuala Lumpur di kawasan berkenaan.