Bukan sekali dua video aksi kumpulan berbasikal yang seakan ‘menakluki’ jalan raya tanpa memikirkan risiko dan bahaya yang menanti. Bukan setakat itu sahaja, tindakan tersebut juga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Perkongsian video dari @agishabib menerusi TikTok dan telah pun tular di laman media sosial sejak empat hari lalu, mendapat perhatian dan kecaman netizen. Dengan kapsyen, “Hobi kami mahal, keselamatan diabaikan”, perakam video ini walau bagaimana pun tidak memaklumkan bilakah kejadian dan lokasinya, namun yang pastinya ia melibatkan jalan luar bandar dengan laluan garisan berkembar dan berselekoh.
Terpaksa sabar dengan memandu dalam kelajuan kurang 40 km/j dan ‘membontoti’ kumpulan pengayuh basikal seramai lebih 10 orang itu, perakam video tersebut turut mengomel sepanjang jalan. Dia turut berpendapat, jika ada kumpulan seramai ini sepatutnya ada pengiring di hadapan dan belakang bagi mengawasi perjalanan kumpulan terbabit, sekaligus tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Apatah lagi di laluan yang berselekoh dan agak sempit itu.
Bahkan tindakan kumpulan pengayuh basikal terbabit yang menunggang secara beriringan (sepatutnya kenalah menunggang secara berbaris, tidaklah menghalang lalu lintas), pastinya menyulitkan pemandu lain untuk memotong (sekiranya bukan di laluan garisan berkembar). Bukan itu sahaja, jika ada pemandu yang tidak sabar dengan aksi sebegini dan berusaha untuk memotong kumpulan berbasikal ini, mungkin ada risiko dan bahaya yang menanti tanpa disedari.
Memanglah sebelum ini kerajaan telah menetapkan larangan untuk penunggang basikal menunggang di lebuhraya, tetapi masih ‘membenarkan’ mereka menggunakan jalan biasa untuk meneruskan hobi ini. Tapi apa guna beli basikal mahal-mahal jika aspek keselamatan diabaikan. Jangan seronok tidak bertempat, sampai menyusahkan orang lain, atau paling ‘haram jadah’ mengundang bahaya yang tidak diingini.
@agishabib Hobi Kami Mahal,Kedelamatan Diabaikan.#fyp? #bahagiaitusederhana ? original sound – AlHabib
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.