Proton hari ini secara rasmi telah membuka pusat 4S terbaharunya iaitu Harima Auto Mobil 4S (Harima), yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Ini merupakan pusat 3S/4S yang ke-149 Proton di Malaysia, membolehkan ia mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama automotif dengan pusat 3S/4S paling banyak dalam negara. Bukan itu sahaja, malah Harima juga kini merupakan pusat 3S/4S terbesar Proton di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
Selaras dengan hala tuju perniagaan Proton, Harima yang sudahpun menjadi pengedar Proton di Kota Bharu sejak 1986 memutuskan untuk melabur dalam pusat 4S baharu ini bagi menaik taraf pengalaman pembelian dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan serta menjadi pusat tumpuan bagi pemilik Proton di negeri berkenaan.
Pusat 4S baharu Harima ini terletak di Tunjong, dengan keluasan binaan 2,400 meter persegi. Ia mempunyai bilik pameran yang membolehkan 10-kereta dipamerkan dalam satu-satu masa, 11 ruang servis dan 11 ruang untuk kerja-kerja pembaikan badan dan cat. Seperti pengedar 4S yang lain, fasiliti ini juga mempunyai ruang permainan kanak-kanak, WIFI percuma dan ruang istirahat pelanggan yang selesa.
Fasiliti baharu Harima ini juga menjadi yang pertama di Kelantan bagi menyediakan ruangan Proton Global Services (PGS), menawarkan ruang kafe menyajikan kopi Starbucks serta sudut produk berjenama Proton dan R3.
“Apa yang paling penting ialah pelanggan gembira mengunjungi pengedar untuk membeli kereta baharu. Sebaik sahaja mereka telah membelinya, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka menghantar semula kereta mereka kepada kami untuk servis berkala. Bagaimanapun, Harima merasakan tahap kepuasan pelanggan yang diperlukan tidak dapat dicapai jika kami terus beroperasi sebagai bilik pameran kecil tanpa kemudahan yang diperlukan, justeru, keputusan untuk beroperasi sebagai pengedar 4S,” kata Pengarah Harima, Liew Vee Lee.
“Pembukaan pengedar 4S baharu Harima Auto Mobil akan membantu meningkatkan reputasi jenama Proton di Kota Bharu. Dengan memiliki rangkaian penuh kemudahan dan aset yang diperlukan untuk melayani jumlah pelanggan yang tinggi, kami berharap dapat meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memberikan pengalaman yang benar-benar premium bagi pelanggan di negeri ini,” kata Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.