Bagi penduduk sekitar Petaling Jaya atau pun yang berada di daerah berkenaan, ingin dimaklumkan bahawa terdapat penutupan beberapa jalan pada Ahad ini, 25 September, bagi kelancaran acara larian PJ Marathon 2022.
Menurut IPD Petaling Jaya, penutupan jalan (sama ada penuh atau secara berperingkat) akan mula dilaksanakan seawal jam 4 pagi sehingga 11 pagi pada hari tersebut memandangkan acara yang berlangsung di Dataran PJ itu akan bermula pada 4.30 pagi.
Ia membabitkan susur keluar Lebuhraya Persekutuan ke Jalan Timur (arah Kuala Lumpur) yang ditutup dari jam 4 pagi hingga 10 pagi. Walau bagaimana pun, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Barat (ke Seksyen 14 dan Seapark) dan Jalan 222 (ke Bandar PJ). Manakala Jalan Timur-Persiaran Barat juga akan ditutup sehingga 10 pagi.
Begitu juga dengan Persiaran Barat-Jalan Timur (berhadapan Padang Timur) akan ditutup sebahagian jalan dari jam 6 petang pada Sabtu (24 Sept) hingga 12 tengahari (25 Sept).
Manakala jalan lain yang terlibat dengan penutupan secara berperingkat iaitu dari jam 4 pagi hingga 11 pagi termasuklah Jalan Timur, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Sultan, Jalan Gasing, Jalan Templer, Jalan Harapan, Jalan Semangat, Jalan Kemajuan dan Jalan Universiti. Senarai penuh jalan yang terlibat terdapat pada imej di atas.
Jadi, untuk anda yang merancang ke PJ pada Ahad ini, mungkin boleh tangguhkan perancangan itu atau pun ubah jadual ke sana selepas jam 1 tengahari bagi mengelakkan anda mungkin tersekat dalam kesesakan trafik akibat penutupan jalan. Atau pun jika perancangan tidak boleh diubah (atau memang anda tinggal di kawasan sekitar), sila patuhi arahan polis trafik dan kakitangan MBPJ untuk kelancaran perjalanan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.