Thailand nampaknya akan menerima pengenalan Honda CR-V generasi keenam: sekali lagi, model tersebut dikesan sedang diuji di sana. Kali ini, dua unit CR-V terbaru itu dilihat di lebuhraya oleh Jeerasak Suwanpeuch, dengan mengenakan pelekat samaran hampir seluruhnya.

Dalam satu gambar yang ada, kita boleh melihat bahagian depan CR-V yang direka semula, mencadangkan ia mungkin varian hibrid. Di pasaran Amerika Syarikat di mana CR-V ini membuat penampilan sulungnya, ia ditawarkan dalam varian Sport dan Sport Touring dengan sistem janaan petrol hibrid dan mengenakan wajah depan yang sama. Elemen rekaan utamanya adalah gril depan bentuk hexagonal, dan di belakang dengan muncung ekzos trapezoidal.

Versi bukan hibrid di AS pula (varian EX dan EX-L) menerima enjin VTEC Turbo, dengan rekaan gril yang sedikit berbeza dan tiada penyudah sama pada ekzosnya. Kedua-dua penampilan ini bagaimanapun boeh digandingkan dengan pakej Honda Performance Development (HPD) yang menambah kemasan bahagian bawah bampar depan, kemasan pada pintu, lengkuk roda yang lebih ketara serta spoiler belakang — imej sama ditunjukkan ketika pertama kali CR-V ini ditunjuk Julai lalu.

CR-V versi hibrid menggunakan tetapan yang sama dengan Civic e:HEV, dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dan e-CVT dan menghasilkan ouptu keseluruhan 204 hp (207 PS). Bagi versi VTEC Turbo pula, ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder dengan janaan 190 hp (193 PS) dan 243 Nm tork, dan digandingkan dengan CVT yang lebih senyap.

Honda CR-V generasi keenam ini juga saiznya lebih besar berbanding sebelumnya, dengan ukuran 4,694 mm panjang (+69 mm) dan 1,864 mm lebar (+10 mm), sementara ketinggiannya dikurangkan sedikit kepada 1,681 mm (-8 mm). Jarak antara rodanya pula ditambah 40 mm, kini menjadi 2,700 mm. Bila agaknya model ini akan ke Malaysia?