Kiosk Layan Diri JPJ – perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC, bayar saman tanpa perlu ke kaunter

Kiosk Layan Diri JPJ – perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC, bayar saman tanpa perlu ke kaunter

Perkara paling membosankan ketika sampai masa untuk memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motokar/Motosikal (LKM) sudah tentulah anda perlu kaunter-kaunter fizikal di cawangan-cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau di pejabat-pejabat Pos bukan? Jika hadir ke fasiliti-fasiliti sebegini, sudah tentu kita terpaksa meluangkan masa yang agak lama, dan ini mendorong ramai daripada kita untuk menggunakan khidmat runner.

Namun adakah anda sedar dengan kewujudan Kiosk Layan Diri JPJ yang kini mula ditempatkan di kebanyakkan cawangan JPJ seluruh negara? Menerusi kiosk ini, anda bukan sahaja boleh memperbaharui cukai jalan, malah ia juga menawarkan pelbagai servis lain termasuk mencetak semula salinan sijil pemilikan kenderaan (VOC), membayar saman trafik serta memberikan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan lesen memandu, insurans kenderaan dan lain-lain.

Baru-baru ini, penulis sendiri mencuba Kiosk JPJ berkenaan yang terletak JPJ cawangan UTC Selangor, Seksyen 14 Shah Alam untuk memperbaharui cukai jalan. Dua buah kiosk ditempatkan di sini, dan ketika sampai di kiosk tersebut, penulis masih lagi perlu beratur untuk menggunakannya, tetapi ia mengambil masa yang jauh lebih singkat berbanding melakukan urusan yang sama di pejabat pos.

Namun sebelum anda datang ke kiosk berkenaan, anda perlu pastikan insuran baharu untuk kenderaan anda dibeli terlebih dahulu, barulah urusan pembaharuan cukai jalan boleh dibuat di kiosk ini. Seperti biasa, urusan pembelian insuran boleh dibuat di mana-mana ejen insuran, namun bagi penulis, lebih mudah dan cepat untuk dibuat menerusi pelbagai platform pembelian insuran secara atas talian yang ditawarkan pelbagai syarikat buat masa sekarang.

Menerusi kiosk ini juga, anda bukan sahaja boleh melakukan urusan pembaharuan cukai jalan dan mencetak semula VOC untuk kenderaan atau lesen memandu anda sendiri, malah boleh membuat urusan-urusan sama sebagai wakil untuk orang lain. Ini kerana sebelum memulakan apa-apa urusan, anda terlebih dahulu perlu memasukkan kad pengenalan (MyKad) pada pembaca kad bersama pengesahan cap jari pada kiosk berkenaan.

Jadi sekiranya anda hadir untuk memperbaharui cukai jalan, tidak perlulah membawa sebarang dokumen seperti geran kereta mahupun salinan cover note insuran, cukup sekadar membawa MyKad.

Kiosk Layan Diri JPJ – perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC, bayar saman tanpa perlu ke kaunter

Urusan pembaharuan tersebut dibuat dengan cukup mudah dengan mengikut arahan yang diberikan melalui skrin yang disediakan, manakala pembayaran boleh dibuat menggunakan kad debit/kredit yang hanya perlu di tap pada peranti yang disediakan di bawah skrin tersebut, atau menggunakan aplikasi pembayaran elektronik dan e-wallet seperti Touch’N Go, Grab Pay, Boost dan Maybank QRPay.

Selepas selesai pembayaran, dokumen-dokumen seperti disc LKM, VOC mahupun kad lesen memandu yang sudah diperbaharui akan keluar menerusi mesin pencetak yang terletak bersebelahan skrin berkenaan. Senang dan pantas bukan? Tetapi jika anda tidak bernasib baik beratur di belakang seorang runner yang melakukan pelbagai urusan serentak seperti memperbaharui 10 cukai jalan sekaligus untuk pelanggannya, anda mungkin ‘berjanggut’ lah untuk menunggu giliran di belakangnya.

April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa kementeriannya akan menambah sekitar 100 unit kiosk baharu di semua cawangan JPJ di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Malah beliau turut menyatakan bahawa kiosk layan diri berkenaan turut akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti di pejabat kerajaan di beberapa kementerian, di stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • jenny on Nov 04, 2022 at 11:50 pm

    roadtax renew utk semua jenis ke, lorry punya boleh tak

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Rohana binti Shariff on Dec 25, 2022 at 1:51 pm

    tanpa mykad dan wakil sahaja yang buatkan boleh? cap jari saya mmg dh rosak

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Michelle on Jun 15, 2023 at 12:07 am

    Any latest list of kiosks?

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • ezzany on Jun 27, 2023 at 9:19 pm

    Kiosk beroperasi waktu pejabat atau 24 jam?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Now in Oct 2023 under antony loke, most kiosk already kaput at JPJ UTC and office. Those previously located in LRT stations are already removed.

    Useless la JPJ now u der antony loke.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required