Honda akhirnya mendedahkan secara rasmi Prologue serba baru, iaitu sebuah SUV elektrik penuh yang akan mula dijual di Amerika Utara pada tahun 2024. Model ini merupakan satu kerjasama antara Honda dengan General Motors (GM), dan dibina atas platform elektrik modular serta teknologi bateri Ultium (turut digunakan pada Chevrolet Blazer EV) pengeluar dari Amerika Syarikat tersebut.

Buat masa ini, Honda masih belum mendedahkan spesifikasi bagi EV baru ini, tetapi laporan mendakwa, ia berkemungkinan sama seperti Blazer EV. Model Chevrolet tersebut ditawarkan dalam versi yang menggunakan satu motor elektrik yang terletak sama ada di hadapan (FWD) ataupun belakang (RWD), serta satu pilihan lagi adalah yang menggunakan dua motor elektrik (AWD).

Varian SS yang paling berkuasa menggunakan tetapan AWD, dengan kuasa sehingga 565 PS (557 hp atau 415 kW), dan tork 879 Nm, manakala jarak geraknya pula adalah 467 km. Antara semua varian yang ditawarkan, varian RS menyediakan jarak gerak paling jauh, iaitu 515 km dengan sekali cas penuh.

Sementara perincian tentang penggeraknya masih dirahsiakan, perkara lain pula sudah didedahkan oleh Honda. Sebagai permulaan, dalam penawaran produk mereka, SUV elektrik ini akan diletakkan di atas CR-V baru dan selari dengan model Passport.

Melihat kepada saiz, Prologue mencatat ukuran panjang 4,877 mm, lebar 1,989 mm, tinggi 1,643 mm dan jarak roda 3,094 mm. Jika dibandingkan dengan CR-V generasi keenam, ia 183 mm pebih panjang, 125 mm lebih lebar, 38 mm lebih rendah serta mempunyai jarak roda 394 mm lebih panjang.

Reka bentuk Prologue dihasilkan oleh Honda Design Studio di Los Angeles. Membawa konsep rekaan ringkas dan bersih, anda juga boleh menyaksikan bahagian belakang yang kelihatan seakan model Range Rover Evoque, terutamanya lampu belakang. Menurut Honda, model yang ditunjukkan ini menggunakan rim 21 inci dan dilengkapi bumbung panoramik.

Di dalam, Honda hanya menggunakan skrin sesentuh 11.3 inci untuk sistem infotainmen, sementara di bawahnya terdapat dua tombol dan susunan butang kawalan. Corong pendingin hawa dijadikan sama bentuk seperti kemasan jalur melintang di atas papan pemuka.

Untuk panel instrumen pula terdapat skrin 11 inci di hadapan pemandu, sementara pada stereng dan konsol tengah tidak terdapat banyak butang kawalan. Di bahagian kiri papan pemuka terdapat beberapa butang untuk kawalan fungsi brek parkir elektronik, mod Sport serta sistem Lane Centring Assist.

Menurut Honda, lebih banyak lagi perincian Prologue akan didedahkan dalam bulan-bulan yang mendatang, jadi sementara itu kita masih perlu menunggu untuk mengtahui lebih lanjut tentangnya.