Ford Ranger XL Single-cab 2023 – RM99k, diesel 2.0L turbo, hanya manual, bed paling besar dalam kelasnya

Ford Ranger XL Single-cab 2023 – RM99k, diesel 2.0L turbo, hanya manual, bed paling besar dalam kelasnya

Jika anda mahukan sebuah trak pikap semata-mata bagi digunakan untuk bekerja, ini ada satu pilihan baharu untuk anda – Ford Ranger XL Single-cab kini telah pun dijual secara rasmi di Malaysia, bersama varian dual-cab XL, XLT, XLT Plus, Wildtrak dan juga trak prestasi tinggi Ranger Raptor generasi baharu yang sudahpun dilancarkan pada pasaran tempatan sebelum ini.

Bagi Ranger XL Single-cab ini, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM98,888 untuk semenanjung Malaysia, dan RM104,388 bagi Sabah dan Sarawak. Varian ini hanya datang dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin diesel 2.0L empat silinder dengan pengecas turbo tunggal berkuasa 170 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 405 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,500 rpm.

Ia juga hanya hadir dengan kotak gear enam kelajuan manual tanpa pilihan kotak gear automatik, dan ia turut menerima sistem pacuan empat roda dengan pilihan gear 2H, 4H dan 4L yang boleh dipilih secara elekronik menggunakan suis putar yang disediakan.

Ford Ranger XL Single-cab 2023 – RM99k, diesel 2.0L turbo, hanya manual, bed paling besar dalam kelasnya

Dengan hanya menampilkan kabin tunggal tempat duduk sebaris, Ranger XL Single-Cab ini menawarkan ruang bed belakang berukuran 2,332 mm panjang, 1,420 mm lebar serta 540 mm tinggi, yang lebih luas dari model Double-cab dan ia didakwa paling besar di dalam kelasnya.

Ford mendakwa bahawa konfigurasi Single-cab tersebut juga membolehkan bed belakang Ranger XL ini membawa barang lebih besar seperti papan lapis binaan dalam jumlah yang banyak, atau palet bersaiz penuh. Ruang berkenaan juga diberikan enam cangkuk untuk mengikat pada tiub rel logam, manakala pintu tailgate pula direka bagi membolehkan ia dibuat meja kerja bersama poket bersepadu untuk menggunakan pembaris dan pengapit.

Walaupun Ranger XL ini merupakan varian yang paling “kosong”, ia masih menerima paparan instrumen digital sepenuhnya, bersama skrin infotainmen besar bersaiz 10.1-inci yang diletak secara potret. Skrin tersebut memberikan fungsi arahan suara serta sokongan untuk sistem Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh disambungkan tanpa wayar.

Perincian lain yang diberikan termasuk rim aloi 16-inci, bampar hadapan dengan warna badan, gril hadapan dan bampar belakang kemasan hitam, lampu hadapan halogen, lampu kabus belakang, cangkuk menyelamat hadapan, lampu nyalaan siang serta lampu brek ketiga LED yang diletakkan pada pintu tailgate.

Empat warna badan ditawarkan untuk Ford Ranger XL Single-cab ini iaitu Absolute Black, Aluminium Metallic, Arctic White dan Meteor Grey. Pembelian trak pikap ini dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km yang mana sampai dahulu, tetapi pembeli boleh memilih pakej perlindungan waranti yang dipanjangkan sehingga tujuh tahun.

Ford Malaysia turut menawarkan pilihan pakej lanjutan untuk servis berjadual sehingga lima tahun, yang mana pelanggan boleh membuat bayaran pendahuluan dan ‘mengunci’ kos servis tersebut, serta pembayaran boleh dimasukkan ke dalam pembiayaan kenderaan untuk mengurangkan mana-mana kesan kenaikan kos.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required