Ora Good Cat – 500 slot pra-tempahan awal habis dalam 58 min di Thai – tempahan kini cecah 5,500 unit

Ora Good Cat – 500 slot pra-tempahan awal habis dalam 58 min di Thai – tempahan kini cecah 5,500 unit

Ora Good Cat keluaran Great Wall Motors (GWM) ternyata cukup diterima baik di Thailand, di mana hatchback elektrik sepenuhnya ini telah menjadi kenderaan elektrik (EV) paling laris di negara berkenaan. Dalam pelancaran EV berkenaan di Thailand pada Jun lalu, kesemua 500 unit kumpulan pra-tempahan awal telah pun penuh dalam tempoh 58 minit selepas tempahannya dibuka, kata GWM menerusi kenyataan yang dikeluarkan

Menurut GWM lagi, berikutan permintaan awal yang memberansangkan di Thailand, Ora Good Cat telah merekodkan lebih daripada 5,500 tempahan pada akhir Oktober lalu. Rekod tempahan tersebut melibatkan kesemua varian yang ditawarkan, sekaligus membuatkan ia menjadi EV terlaris di Thailand.

Pada Julai lalu, pengeluar kereta China ini telah pun mengumumkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dan syarikat ini dilihat telah bersedia untuk memulakan pra-tempahan bagi EV ini. Ora Good Cat juga dijangka akan dilancarkan bila-bila masa pada bulan ini, dan ditawarkan dengan empat varian iaitu Tech, Pro, Ultra dan Ultra G.

Kesemua varian ini dilengkapi motor elektrik yang menghasilkan 143 PS/210 Nm yang memacu roda depan, dengan kelajuan maksimum mencecah 152 km/j. Pemanduan dengan pedal tunggal juga tersedia, dan ada lima mod — Normal, Sport, Eco, Eco+ dan Auto.

Varian Tech dan Pro akan menggunakan bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate yang boleh memberikan jarak perjalanan cecah 400 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan penuh, ia memerlukan sekitar lapan jam jika dicas menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) pada kadar input maksimum 6.6 kW. Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas 0-80% (SoC) dalam masa 46 minit pada kadar 60 kW.

Sementara itu, bagi varian Ultra dan Ultra G pula diberikan bateri lithium 63.1 kWh yang menawarkan jarak perjalanan mencecah 500 KM mengikut kitaran NEDC. Ia mengambil masa sekitar 10 jam untuk pengecasan penuh menerusi pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diambil untuk status 0-80% pengecasan pula adalah sekitar 40 minit.

Kit keselamatan aktif yang diberikan termasuklah kawalan kelajuan adaptif dengan belokan pintar, bantuan kesesakan trafik, brek kecemasan automatik dengan sokongan di persimpangan, amaran pelanggaran hadapan, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan pemusatan lorong.

Manakala varian tertinggi Ultra dan Ultra G pula diberikan beberapa lagi ciri keselematan tambahan termasuklah kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong, pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang serta penderia parkir hadapan.

Buat masa ini, harganya masih belum diumumkan, namun ia akan didedahkan sepenuhnya dalam majlis pelancarannya kelak. Dijangkakan harga bagi varian Tech dan Pro bermula di bawah RM150k, sementara Ultra dan Ultra G pula mungkin bermula pada harga RM160k.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required