Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar off-road, 480 PS/570 Nm

Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

Porsche telah mendedahkan model edisi terhad 911 Dakar, iaitu Porsche 911 generasi 992 dengan kebolehan off-road dihasilkan dengan inspirasi dari jentera rali rentas negara Porsche 911 yang memenangi Rali Paris-Dakar 1984, dan merupakan 911 pertama diberikan sistem pacuan semua roda.

Model edisi istimewa ini didedahkan di Los Angeles Auto Show 2022yang kini sedang berlangsung di Amerika Syarikat, dan ia hanya dihasilkan sebanyak 2,500 unit sahaja. Ia diasaskan dari 911 Carrera 4 GTS, kemudian bukan sahaja diberi penggayaan sebuah kereta rali, malah turut menampilkan suspensi, set roda dan perincian lain yang sesuai untuk pengembaraan di padang pasir menerusi pakej opsyen Rallye Design Package.

911 Dakar ini diberikan jarak kelegaan tanah 50 mm lebih tinggi dari 911 Carrera dengan suspensi Sport. Manakala sistem lift yang dipadankan secara standard pula mampu meninggikan kereta ini dengan tambahan 30 mm – menjadikan tingginya seakan sebuah SUV.

Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

Sistem lift yang diberikan tersebut bertujuan untuk memudahkan kereta ini melepasi laluan yang berhalangan, dan kemudian boleh direndahkan semula ketika dipandu di jalan raya biasa. Namun menurut Porsche, dalam kedudukan paling tinggi, talaan pada suspensi tersebut masih boleh dipandu dengan stabil pada kelajuan 170 km/j. Sistem tersebut juga akan merendahkan semula kereta secara automatik sekiranya kelajuan melebihi 170 km/j.

Secara standard, 911 Dakar ini dipadankan dengan rim 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang, bersama tayar Pirelli Scorpion All Terrain Plus (245/45ZR19 di hadapan dan 295/40ZR20 di belakang). Tayar off-road tersebut menampilkan bunga setebal 9 mm dengan dua lapisan Carcass bersama dinding sisi yang diperkuat.

Menurut Porsche, tayar ini bukan hanya memberikan prestasi pemanduan untuk permukaan off-road, malah turut memberikan dinamik sebuah kereta sport pada permukaan jalan biasa. Pembeli turut boleh memilih tayar musim panas atau musim sejuk Pirelli P Zero sebagai opsyen.

Model ini masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Carrera 4 GTS, menggandingkan enjin flat enam-silinder dengan dua pengecas turbo menghasilkan kuasa 480 PS dan tork maksima 570 Nm, bersama kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda.

Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat, dan kelajuan maksimanya hanya dihadkan pada 240 km/j (309 km/j untuk Carrera 4 GTS biasa) kerana ia diberikan tayar off-road jenis all-terrain.

Selain itu, model ini juga datang standard dengan sistem stereng pada gandar belakang, cagak-cagak enjin yang diambil dari 911 GT3, dan sistem penstabil anti-oleng aktif Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC). Menurut Porsche, talaan pada 911 Dakar ini bukan sahaja memberikan pengendalian yang baik di atas permukaan off-road yang licin, malah turut boleh beraksi dengan baik di litar Nürburgring Nordschleife.

Porsche 911 Dakar ini diberikan dua mod pemanduan baharu istimewa yang tiada pada 911 lain bagi memberikan prestasi maksimum pada permukaan off-road. Pertama adalah mod Rallye yang dihasilkan khas untuk permukaan licin dan tidak sekata, menampilkan agihan tork pacuan semua roda yang lebih tertumpu pada roda belakang.

Yang kedua adalah mod Offroad, iaitu mod yang akan meninggikan kereta dengan sistem lift secara automatik, direka bagi memberikan cengkaman maksima pada permukaan jalan yang sukar dan di atas pasir. Kedua-dua mod baharu ini juga didatangkan dengan fungsi Rallye Launch Control, yang akan memberikan pecutan terbaik pada permukaan licin dan membenarkan tayar tergelincir pada kadar sekitar 20%.

Antara perincian lain yang menjadikan 911 Dakar ini unik termasuk spoiler belakang yang ringan diperbuat dari material plastik diperkuat gentian karbon (CFRP) dan juga penutup ruang kargo hadapan CFRP yang diberikan liang dari udara 911 GT3.

Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

Ia juga menerima perincian lasak sebuah kenderaan off-road seperti cangkuk tunda alumnium berwarna merah di hadapan dan belakang, ruang roda dan panel bendul sisi yang lebih lebar, serta panel-panel pelindung logam tahan karat yang diberikan pada bawah bampar hadapan, belakang dan sisi. Liang pengambil udara pada bampar hadapan turut diberikan gril logam tahan karat untuk memberikan perlindungan terhadap batu.

Bumbung Porsche 911 Dakar ini diberikan port kuasa 12-volt bagi membolehkan ia membekalkan kuasa elektrik untuk lampu tambahan sekiranya pembeli memilih rak bumbung yang ditawarkan secara opsyen. Rak berkenaan mampu membawa beban seberat 42 kg, bagi menyimpan pelbagai peralatan rali rentas negara seperti bekas simpanan air dan bahan api, penyodok boleh lipat serta traction board. Porsche turut menawarkan khemah bumbung yang boleh dipadankan pada rak bumbung tersebut.

Dalam kabin, 911 Dakar ini menerima tempat duduk bucket untuk bahagian hadapan, manakala tempat duduk belakangnya sudah dicabut. Ia juga diberikan cermin-cermin ringan serta bateri ringan bagi mengurangkan beratnya. Ini membolehkan 911 Dakar tersebut ditimbang hanya 1,605 kg, atau 10 kg lebih ringan berbanding 911 Carrera 4 GTS dengan kotak gear PDK.

Porsche 911 Dakar – kereta rali jalan raya hanya 2,500 unit, suspensi dan tayar <em>off-road</em>, 480 PS/570 Nm

Perincian standard dalaman lain yang diberikan termasuk upholsteri Race-Tex dengan jahitan Shade Green – sekiranya pembeli memilih 911 Dakar dengan warna badan metalik. Manakala pakej Rallye Sport yang menampilkan bar roll over (separa-roll cage), tali pinggang perlumbaan enam-poin dan pemadam bahan api ditawarkan secara opsyen.

Warna badan dua-tona putih/Gentian Blue seakan livery perlumbaan ‘Rothmans’ seperti kereta rali Porsche Rali Paris Dakar 1984 yang anda lihat dalam foto di atas merupakan sebahagian pakej Rallye Design yang ditawarkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur.

Pelanggan yang memilih pakej ini boleh memilih nombor perlumbaan unik masing-masing antara angka 0 hingga 999, namun tulisan “Rohtmans” akan digantikan dengan “Roughroads” yang didakwa sudah dipatenkan. Pakej ini juga menampilkan set rim yang kenakan kemasan berwarna putih.

Pembeli Porsche 911 Dakar ini juga ditawarkan untuk menempah kereta mereka dengan jam tangan eksklusif Porsche Design Chronograph 1 911 Dakar Rallye Design Edition. Buat pertama kali, jam tangan tersebut menampilkan perumah anti-calar dan diperbuat dari titanium karbida ringan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required