Penantian pasca PRU ke-15 berkenaan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 akhirnya membawa kepada perkembangan terbaru. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara sebentar tadi telah mengesahkan bahawa Ahli Parlimen P.063 Tambun dari Pakatan Harapan dilantik sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai Kabinet Kerajaan Malaysia.

Dan untuk itu, berikut adalah beberapa senarai janji yang termuat dalam manifesto Pakatan Harapan menjelang PRU15 tempoh hari. Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah peningkatan kos sara hidup, yang berkaitan “menilai semula konsesi lebuhraya” menjadi satu tunjang utamanya.

“Pentadbiran Pakaran Harapan menunjukkan komitmen untuk menilai semula perjanjian konsesi semua lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik, yang akan membawa kepada pengurangan kadar tol sehingga 18% bagi Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2). PH juga akan terus berusah untuk mengurangkan tol PLUS dengan matlamat akhir untuk memansuhkan bayaran tol dan mengembalikan PLUS sebagai pemilikan awam,” ujar manifesto berkenaan.

Kadar tol PLUS yang turun 18% pada 2020

Selain itu, pengangkutan awam percuma juga disebut-sebut, untuk dinikmati oleh warga emas, dengan menawarkan potongan 50% potongan berbanding apa yang ada ketika ini. Orang Kelainan Upaya (OKU) juga dijanjikan bakal diberikan sokongan tambahan dan capaian yang lebih baik untuk pengangkutan awam. Ini akan dilakukan dengan menambah kemudahan dan pengangkutan awam yang mesra OKU.

Projek pembangunan semasa juga akan dipastikan menepati piawaian Universal Design; “Kini masanya untuk mengiktiraf keperluan OKU dalam pengangkutan awam dan kemudahan berkaitan tidak boleh diabaikan lagi,” ujar PH.

Dalam mempertingkatkan ketersambungan pengangkutan awam, PH memaklumkan bersedia untuk memperluas kawasan liputan pengangkutan awam untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga dan dalam masa yang sama, mengurangkan pencemaran dan kebergantungan terhadap bahan api. Bandar yang pesat tidak boleh ada tandap rangkaian pengangkutan awam yang menyeluruh.

PH juga menjanjikan 80% daripada kawasan bandar akan mempunyai perhentian bas dan stesen tren dalam jarak 10 minit berjalan kaki, dan tempoh menunggu bagi servis pengangkutan awam terutamanya bas tidak melebihi 10 minit. Untuk memenuhi perkara ini, PH memerlukan 10,000 bas untuk kegunaan di semua bandar seluruh Malaysia, dengan 7,000 daripadanya akan digunakan di Lembah Klang.

Bagi pas My50 yang ada ketika ini, PH juga mahu memperkenalkan had tambang bagi mereka yang tidak perlu/mahu pas bulanan. Had tambang RM5 sehari untuk menggalakkan lebih ramai warga menggunakan pengangkutan awam, terutama mereka yang bukan pengguna harian.

PH juga akan mempercepatkan pewujudan peraturan dan undang-undang berkaitan “micro mobility” seperti e-skuter dan e-bike sebagai sambungan perantara terakhir. Kerajaan katanya boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-hailing untuk memberikan baucar pengangkutan bagi pengguna untuk ke stesen transit. Tawaran ini boleh dikenakan RM5 bagi setiap baucar dan sehingga 10 baucar boleh diberikan melalui e-wallet untuk digunakan bagi perjalanan yang bermula atau berakhir di stesen pengangkutan awam.

Akhir sekali, PH juga merancang untuk memperluas kaedah bayaran pengangkutan awam untuk menyertakan kad debit dan e-wallet, berbanding hanya sistem yang menggunakan kad Touch ‘n Go. Sejauh mana semua ini mampu tercapai untuk kita nikmati?