Modenas hari ini telah memperkenalkan Ninja 250 Ohlins Edition, yang hanya dikeluarkan sebanyak 180 unit untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM20,500. Model ini menggunakan asas daripada Ninja 250 tanpa ABS, yang dalam versi biasa, dijual pada harga RM18,900.

Seperti yang boleh dijangka daripada namanya, model sports permulaan ini mendapat naik taraf suspensi dengan menggunakan monoshock belakang Ohlins KA 744, STX 36 Supersport yang boleh dilaras sepenuhnya termasuk pra beban, mampatan dan lantunan.

Bahagian lain pula semuanya masih sama seperti Ninja 250 biasa yang dilancarkan Julai lalu, termasuk fork teleskopik dengan jarak gerak 120 mm, brek cakera hadapan dan belakang (310 mm di hadapan, 220 mm di belakang), rim 17 inci dengan tayar 110/70 dan 140/70, tangki bahan api 14 liter serta lampu hadapan dan belakang LED.

Modenas Ninja 250 dipacu oleh enjin dua silinder DOHC 249 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm tork pada 10,000 rpm. Berat keseluruhannya adalah 165 kg.

Hanya warna Metallic Carbon Grey sahaja yang ditawarkan bagi Ninja 250 Ohlins Edition ini, dan bagi monoshock yang dinaik taraf itu, memandangkan ia datang dari kilang Modenas sendiri, ia juga termasuk dalam jaminan motosikal selama dua tahun atau 20,000 km yang disediakan.